Selangorkini
NASIONAL

PKR kekalkan kubu kuat, undi Melayu meningkat

Oleh: NAZLI IBRAHIM dan HAFIZAN TAIB

PERMATANG PAUH, 7 MEI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memastikan kubu kuatnya kekal ampuh selepas menewaskan tiga calon lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Kemenangan itu diperoleh selepas PKR yang mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat 30,316 undi berbanding Suhaimi Shabudin daripada BN yang mengutip 21,475 undi.

_MG_9495Dr Wan Azizah yang menang dengan majoriti 8,841 undi turut menewaskan dua calon lain daripada PRM (101) dan bebas (367).

Kemenangan kali ini lebih manis apabila PKR berjaya meningkatkan sokongan di kawasan majoriti Melayu sekitar empat hingga lima peratus khususnya dalam kalangan pengundi muda walaupun peratusan keluar mengundi hanya 74 peratus.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata, kemenangan itu juga menunjukkan rakyat bersimpati kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus membuktikan Ketua Umum PKR itu masih relevan di hati rakyat.

“Kemenangan kali ini adalah bukti bahawa rakyat khususnya di Permatang Pauh mahu sebuah Pakatan Rakyat yang kuat.

_MG_9250“Ia bukan hanya kemenangan PKR sahaja tetapi rakyat yang menentang kezaliman BN terhadap Anwar Ibrahim.

“Ini adalah satu referendum rakyat menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan rasuah, dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media sebaik diumum sebagai pemenang di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini.

Dr Wan Azizah juga mengaitkan kemenangannya dengan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipenuhi skandal.

“Ini juga manifestasi rakyat terhadap kegagalan Perdana Menteri yang dipenuhi ketirisan, kelemahan pemimpin dan skandal terutamanya 1MDB sehingga terpaksa menggunakan dana Tabung Haji,” katanya.

-NFN-


Pengarang :