Selangorkini
NASIONAL

PR, BN sokong cadangan Pandikar tambah baik Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan sokongan berhubung cadangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi penambahbaikan Parlimen.

Ketua Whip Parlimen DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya menyokong cadangan itu dan menyifatkannya sebagai langkah yang baik.

Anthony Loke“DAP menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap gesaan Pandikar supaya Parlimen ditambah baik.

“37 Ahli Parlimen dan dua Senator DAP menyatakan sokongan sepenuhnya ke atas usaha Pandikar untuk menambahbaik Parlimen,” katanya dipetik Malaysian Insider dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Semalam, Pandikar mendedahkan hasratnya meletakkan jawatan kerana kecewa institusi Parlimen dilihat sebagai “rubber stamp”, di samping mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk mengembalikan semula Akta Perkhdimatan Parlimen 1963.

Akta terbabit dimansuhkan pada 1992 ketika pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad berkata, pemansuhan akta itu menyebabkan kekaburan antara legislatif dan eksekutif.

shahrir samad“Pandangan saya, harus diadakan perubahan serta reform kepada Parlimen terutama daripada segi akta perkhidmatan Parlimen. Ia harus dikembalikan balik untuk meletakkan dewan rakyat dan negara di tempat sepatutnya.

“Ia bagi membezakan ata jauh sedikit daripada pihak eksekutif. Seharusnya ada garisan antara eksekutif dan Parlimen,” katanya.

Katanya, langkah penambahbaikan terbabit boleh bermula dengan penubuhan jawatankuasa kerja bagi mengkaji cadangan Pandikar untuk menentukan hala tuju dan mengembalikan kebebasan kepada Parlimen.


Pengarang :