KENYATAAN MEDIA

Wanita PKR cabar Datuk Seri Rohani hidup pada gaji minimum

Oleh: ZURAIDA KAMARUDDIN

Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pasti tidak pernah menikmati kesusahan dengan makan gaji. Wanita Keadilan mencabar beliau untuk hidup 30 hari sebagai seorang wanita yang memperoleh gaji minimum RM900 bersama-sama keluarganya kemudian membuat keputusan setelah 30 hari berakhir sama ada relevankah meyakinkan untuk mempunyai lebih ramai anak apabila kos kehidupan yang semakin meningkat.

Wanita Keadilan berpendapat bahawa keluarga perlu bersedia untuk menerima tanggungjawab tambahan dari segi kewangan yang stabil khususnya sebelum mempertimbangkan untuk mempunyai lebih ramai anak bagi mengelakkan masalah pada jangka masa panjang.

Ia adalah satu fakta bahawa kadar kelahiran semakin berkurangan. Tetapi dalam pada masa yang sama, kualiti kehidupan harus juga dipertingkatkan. Daripada memberi nasihat “tidak perlu terlalu tumpu pada kualiti hidup”, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan tahap kualiti kehidupan di Malaysia harus menjadi lebih baik. Negara-negara Asia Tenggara kini sedang bergerak kearah yang lebih baik daripada kita. Sebagai contoh, Korea Selatan sudah jauh kehadapan dengan jenama tersendiri seperti Samsung, LG, Hyundai dan Kia yang mecipta nama di seluruh dunia. Malaysia? Apa yang berlaku pada Proton? Hampir 58 Tahun kemerdekaan , kita masih lagi ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan, dan hak asasi manusia.

Walaupun kadar kelahiran negara memerlukan perhatian, namun benda pokok yang harus diperbetulkan adalah menghentikan rasuah agar kewangan negara berada pada tahap yang sihat. Negara yang mempunyai hasil mahsul yang kaya sepatutnya mempunyai peruntukan yang cukup untuk semua rakyat, bukan cukup untuk kroni. Jika kerajaan benar-benar serius maka 50% daripada BR1M perlu dimasukkan ke dalam akaun suri rumah.

Malah, kerana banyak perbelanjaan yang ditanggung semasa kelahiran hinggalah tahun-tahun berikutnya untuk pembesaran anak-anak, mungkin kerajaan perlu juga melihat ke dalam subsidi kelahiran baru dengan memberi peruntukan kepada ibu bapa sepertimana yang dilakukan oleh Negeri Selangor, program TAWAS. Walaupun ini adalah usul yang baik untuk rakyat, Wanita Keadilan pasti kerajaan BN tidak akan mempertimbangkannya kerana GST tetap akan dikenakan keatas bayi mengikut kepada keperluan asas mereka seperti susu tepung.

Akhir sekali, Wanita Keadilan berharap Datuk Rohani akan meyahut cabaran yang dicadangkan.

# Zuraida Kamaruddin adalah Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Wanita PKR


Pengarang :