Selangorkini
NASIONAL

AMK: Rakyat dulu baru parti

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 JUN: Pemimpin DAP dan PAS digesa mengutamakan kepentingan rakyat dan berhenti menyulam kemelut demi kepentingan parti masing-masing, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi berkata, pertelingkahan dua parti itu tidak mendatangkan kebaikan, bahkan seperti mengkhianati kepercayaan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Pakatan Rakyat (Pakatan) dibina atas jalan persamaan dan ketika PRU lalu menjadi harapan rakyat untuk memperjuangkan isu berkepentingan mereka.

nik nazmi“DAP dan PAS perlu mencari titik persamaan menangani kemelut mereka,” katanya dipetik Sinar Harian.

Nik Nazmi berkata, pihaknya bersedia menjadi orang tengah dan kini dalam usaha berunding dengan kepimpinan DAP dan PAS bagi mencapai kesepakatan.

Katanya, Kerajaan Selangor masih berjalan dengan baik memandangkan dua parti itu dapat bekerjasama.

“Setakat ini, dalam mesyuarat Exco semuanya baik dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Muktamar PAS ke-61 meluluskan usul tergempar memutuskan hubungan dengan DAP namun mengekalkan kerjasama politik dalam Pakatan, pada 6 Jun lalu.

-NFN-


Pengarang :