Selangorkini
SELANGOR

JAIS: Isteri kuat bebel, seks ganas antara punca perceraian

Oleh AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 9 JUN: Isteri kuat membebel dan tabiat seks ganas suami antara faktor perceraian, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Aluwi Parman.

Beliau berkata, empat lagi punca perceraian ialah kurang kefahaman ilmu agama, masalah ekonomi, faktor pihak ketiga dan masalah anak.

Bagi 2014, katanya, kadar perceraian meningkat kepada 6,912 berbanding 6,162 orang berbanding tahun sebelumnya dan lazimnya dalam kalangan usia 30-an hingga 40-an.

“Bukan semua yang bercerai bernikah di Selangor. Mereka bekerja di negeri ini, apabila timbulnya masalah lalu bercerai dan didaftarkan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Muzakarah Pendaftar-pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Ruju’ Orang Islam Negeri Selangor 2015.

Hampir 400 peserta menyertai muzakarah itu yang penutupannya disempurnakan Pembantu Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Razaly Hassan.

Dalam isu poligami, Aluwi berkata, kebanyakan pasangan gemar bernikah di selatan Thailand dan Indonesia berbanding memohon kebenaran serta mendaftar perkahwinan.

“Poligami bertambah tapi yang memohon di mahkamah tidak ramai. Ada daftarkan pernikahan (luar) mereka. Ramai diam (tidak daftar),” katanya sambil menyatakan, ia didorong faktor hamil luar nikah atau tidak dapat restu keluarga.

Mengenai isu kelewatan permohonan fasakh bagi wanita, kata Aluwi, kebanyakan pemohon gagal membawa bukti lengkap yang disyarat mengikut Seksyen 53, Enakmen Undang-Undang Agama Islam.

“Ini yang buatkan isteri gagal dalam tuntutannya selain tidak membawa dua saksi mengukuhkan permohonan itu,” katanya.

– FZL


Pengarang :