Selangorkini
SELANGOR

MBPJ teliti aduan penduduk sebelum laksana pembangunan

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 18 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya mementingkan hubungan baik dengan masyarakat setempat dan meneliti setiap aduan yang diterima sebelum pelaksanaan pembangunan di bandar itu.

Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain, berkata slogan ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’ menjadi teras MBPJ dalam melaksanakan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Katanya, sebarang perancangan yang dibuat akan dirujuk kepada penduduk untuk melihat sama ada positif atau negatif walauppun pembangunan Petaling Jaya menjadi keutamaan pihaknya..

Mohd azizi mbpj“Pembangunan boleh berlaku tetapi jangan ganggu persekitaran kerana kebanyakan penduduk yang tinggal di Petaling Jaya sudah menetap lebih 50 tahun.

“MBPJ mengambil tema Kerajaan Selangor supaya mengutamakan rakyat dengan mendengar keluhan mereka sebelum sesuatu pembangunan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama media di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, semalam.

Mohd Azizi berkata, kehendak masyarakat yang berlainan menjadi satu cabaran MBPJ dalam memastikan kelancaran terhadap perancangan yang dibuat.

Mengambil contoh pembinaan lebuh raya, beliau berkata, pihaknya perlu menilai semula halangan yang mungkin timbul kepada penduduk setempat dengan berusaha memperbaikinya dari masa ke masa.

“Bila sebut cabaran, ini cabarannya. Kita tahu Petaling Jaya ada isu pengangkutan, trafik dan lebuh raya.

“Contohnya, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dibatalkan dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) yang perlu dilihat semula supaya gangguan terhadap penduduk berkurangan.

“Kita bukan sahaja berdepan situasi untuk sediakan perkhidmatan terbaik, penduduk terlibat juga menjadi cabaran buat MBPJ,” katanya.

-NFN-


Pengarang :