SELANGOR

PAS: Teruskan usaha perkukuh Pakatan Rakyat Selangor

SHAH ALAM 15 JUN: Usaha pembelaan rakyat di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu diteruskan agar Kerajaan Pakatan Rakyat terus kukuh demi kebajikan dan masa depan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata pertemuan Adun PAS dari Selangor hari ini menggesa agar usaha dipertingkatkan mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Grafik-Selangor-PakatanKatanya ia selaras dengan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 lalu yang mahu PAS komited terhadap Pakatan Rakyat.

“Rakyat dapat menikmati kualiti kehidupan lebih baik menerusi dasar bersama Pakatan Rakyat yang menitikberatkan ketelusan, memerangi rasuah, peluang ekonomi adil, kediaman mampu milik dan polisi baru lain.

“Semoga kecemerlangan Pakatan Rakyat di Selangor menjadi contoh dan pendorong kepada seluruh rakyat membuat keputusan menamatkan keangkuhan Barisan Nasional,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Iskandar berkata dalam satu pertemuan di Shah Alam, Adun PAS bersetuju agar semua pihak berusaha memulihkan hubungan di dalam Pakatan.

“Walaupun terdapat banyak cabaran tetapi kami yakin ketiga-tiga parti berupaya menangani sebarang masalah yang timbul dengan bijaksana melalui perundingan,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Harakah Daily.

PAS negeri juga, kata beliau menggesa agar hubungan di peringkat akar umbi dijalin dan diperkukuhkan.

EZY


Pengarang :