NASIONAL

Rafizi: Kerajaan Selangor & Pulau Pinang kekal utuh

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Kerajaan kepimpinan bersama DAP, PAS dan PKR di Selangor dan Pulau Pinang kekal stabil walaupun terdapat pergeseran dalam Pakatan Rakyat (Pakatan).

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, berkata keadaan itu tidak mengganggu kestabilan negeri khususnya Selangor kerana DAP dan PAS menyokong Mohamed Azmin Ali kekal selaku Dato’ Menteri Besar.

“Ia mengikut peraturan demokrasi iaitu perlembagaan negeri ini memaktubkan sesiapa ahli dewan yang mendapat majoriti daripada yang lain boleh menubuhkan kerajaan sama seperti di Parlimen.

yb rafizi parlimen“Jadi, dua parti iaitu PAS dan DAP bersetuju untuk mengekalkan Mohamed Azmin Ali. Begitu juga di Pulau Pinang, ” katanya kepada media berhubung kedudukan Kerajaan Selangor.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, Pakatan akan terus kekal jika tiga parti komponen itu boleh kembali bermuafakat.

Katanya, itu bukan kali pertama Pakatan dilanda badai namun kembali utuh hasil perbincangan di meja rundingan.

“Sebelum ini, ada juga masalah tetapi kita tetap duduk bersama dan cari jalan penyelesaian.

“Kebelakangan ini, terutama dua perkara iaitu usul PAS dan tindak balas DAP tidak dibincangkan secara bersama. Itu yang terjadi sekarang,” katanya.

-NFN-


Pengarang :