Rumah Darul Ehsan: ‘Kami kenang sampai bila-bila’ | Selangorkini


Rumah Darul Ehsan: ‘Kami kenang sampai bila-bila’

 

Oleh NAEEM RAFFI

Air matanya berlinangan, teringat teratak separa batu – kayu yang hampir 25 tahun menjadi tempat berteduh, ghaib seusai bah melanda.


Kejadian tanggal 23 Disember itu sukar dilenyapkan dari fikirannya. Air naik pantas lagi deras. Tiada harta benda yang mampu diselamatkan.

Kecuali anak kecil berusia kurang dua tahun ditempatkan di atas siling rumah setelah tidak terdaya melawan arus menganas.

Wan RusnainiWan Rusnaini Wan Mamat, 44, ibu kepada lima anak dari Pekan Lama Manek Urai, Kuala Krai, Kelantan terus termangu-mangu memikirkan nasib keluarganya sebelum mampu bersuara.

“Bila banjir surut, kami dibenarkan pulang. Alangkah terkejutnya apabila melihat rumah hanya tinggal tapak dan beberapa batu pelapik tiang.

“Sebulan lebih kami menghuni khemah sebelum menyewa rumah kedai tinggal yang bocor disana sini.

“Biarpun usang, cukuplah untuk berteduh, membesarkan anak dan menjaga suami yang baru sahaja pulih daripada kanser usus,” katanya yang mesra dengan panggilan Kak Ani.

Walaupun bah berlalu, kesengsaraan kesan bencana itu seakan-akan kekal bersamanya. Bahkan, setiap mangsa banjir terpaksa meneruskan kehidupan dengan tangan kosong.

Bagaimanapun, kisah duka itu beralih gembira apabila Kerajaan Selangor tampil menghulurkan bantuan dengan membangunkan perkampungan baharu.

Sekali lagi, Kak Ani menitiskan air matanya apabila mengetahui dirinya antara mangsa banjir terpilih untuk menerima rumah itu.

“Inilah rezeki Ramadan,” katanya sebagai antara 60 penerima yang bakal menikmati kehidupan baharu dalam perkampungan Rumah Darul Ehsan yang dijangka siap sepenuhnya Ogos depan.

Rumah Darul Ehsan Kelantan

‘Rumah Darul Ehsan’ diberi nama sebagai menghargai sumbangan Kerajaan Selangor yang berbelanja hampir RM6 juta bagi menyiapkan projek perkampungan baharu di tanah seluas 6.99 ekar di daerah Olak Jeram itu.

Keputusan pelaksanaan projek itu diambil bagi membantu meringankan keterbatasan Kerajaan Kelantan membangunkan semula prasarana dan perumahan rakyat yang musnah akibat banjir.

Kediaman dengan keluasan 850 kaki persegi itu merangkumi tiga bilik dan dua bilik air dibina khusus bagi membantu 60 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), rumah setingkat bernilai RM62,000 seunit dibina sepenuhnya menerusi teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Teknologi menggunakan komponen pra-fabrikasi dalam pembuatannya, IBS mampu menghasilkan kepingan dinding dari kilang sebelum dihantar terus ke tapak bina untuk pemasangan.

Kaedah itu memberi kesan positif dari aspek kualiti, keberkesanan kos, keselamatan dan kesihatan, pengurangan sisa, kecekapan dan produktiviti.

Perkampungan itu turut dilengkapi prasarana jalan raya, lampu jalan dan kolam takungan banjir.

Ia kian menjadi kenyataan berikutan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Darul Ehsan sudah disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, 17 Jun lalu.

MB Rumah Darul Ehsan Kelantan

“Selangor mencatat pertumbuhan ekonomi baik, tetapi ia tidak membawa sebarang makna jika kekayaan itu gagal diagih secara adil.

“Manfaat ini, bukan sahaja kepada rakyat Selangor, bahkan mereka yang memerlukan bantuan dan pembelaan,” kata Mohamed Azmin.

Semangat perpaduan dan kebersamaan tiada batas yang dizahirkan Selangor sejajar dasar Peduli Rakyat yang menjadi teras pentadbirannya.

Berdiri menghadap kerangka rumah separuh siap, Wan Rusnaini mengukir senyuman – ada sebesar-besar harapan terkesan di wajahnya.

“Rezeki tuhan itu luas. Bagaimana negeri kaya dan pemurah tergerak membantu rakyat negeri lain. Semua itu bermula dengan hati pemimpin dan pentadbiran yang ikhlas dan amanah.

“Terima kasih Selangor, jasa baik kepada kami rakyat Kelantan akan terus dikenang sampai bila-bila,” kata Wan Rusnaini.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION