SELANGOR

Segera muktamad isu air, elak krisis serius

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 JUN: Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan digesa segera memuktamadkan penstrukturan industri air Selangor demi kepentingan rakyat.

Penyelaras Gabungan Membantah Penswastaan Air (CAWP), Charles Santiago, berkata ia bagi mengelakkan rakyat berdepan krisis air yang serius terutama musim kering.

Katanya, akses utama pengurusan air masih belum dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor walaupun perjanjian sudah ditandatangani.

charles“Ia harus disegerakan kerana dalam tempoh seminggu ini, cuaca terlalu panas tanpa hujan dan jika berlarutan masalah bekalan air akan berlaku.

“Oleh itu, isu ini perlu diselesaikan segera,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Charles yang juga Ahli Parlimen Klang, berkata beliau difahamkan Kerajaan Negeri sudah bermesyuarat bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk memuktamadkan penstrukturan air, pada 25 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang kenyataan akhbar disiarkan berhubung perkara itu, sekali gus membuktikan isu berkenaan masih belum selesai.

“Difahamkan, Kerajaan Persekutuan mula berfikir balik atau ulang kaji beberapa klausa yang diputuskan kedua pihak tahun lalu sehingga isu ini dipanjangkan.

“Saya juga diberitahu bahawa Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan menandatangani perjanjian untuk memuktamadkan penstrukturan air di Selangor tetapi mungkin ia ditangguhkan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :