Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Teks Ucapan MB di Majlis Perhimpunan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri & Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014

Oleh: MOHAMED AZMIN ALI

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua kita dapat berhimpun pagi ini di dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014.

Pagi ini saya bersyukur dapat bertemu dengan anggota perkhidmatan awam yang merupakan nadi penggerak utama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Persepsi ‘stereotype’ terhadap penjawat awam adalah tidak adil dan perlu diperbetulkan dengan fakta kejayaan yang telah dicapai. Malahan, perkhidmatan awam di Malaysia umumnya pernah diakui kecemerlangannya menjalankan tugas secara professional.

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah diiktiraf sebagai Pihak Berkuasa Tempatan terbaik di Malaysia di kalangan 100 PBT dengan penarafan 5 bintang dan 4 bintang ;

Kerajaan Negeri Selangor telah memperoleh Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2014 daripada Ketua Audit Negara;

Rizab Kerajaan Negeri atau jumlah wang awam yang terdiri dari wang tunai dan pelaburan telah meningkat daripada RM2.9 bilion pada 31 Disember 2013 kepada RM3.2 bilion pada 31 Disember 2014. Sehingga April 2015, jumlah ini terus meningkat kepada RM3.54 bilion iaitu sebanyak 11 peratus.

Dalam sebuah sistem demokrasi, sesebuah kerajaan yang diangkat dan dipilih oleh rakyat perlu mendepani tuntutan-tuntutan baru bersesuaian dengan persekitaran serta gaya hidup masyarakat hari ini. Inilah cabaran yang perlu ditangani oleh sesebuah kerajaan dan perkhidmatan awam – kesediaan untuk mendengar pandangan yang mungkin berbeda, connect with the people dan melibatkan stakeholders dalam membuat keputusan.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan hak rakyat terjamin melalui system penyampaian perkhidmatan yang efektif dan berkesan serta mempertingkatkan mutu kerja berasaskan ‘result-based’.

Ini berbeza dengan proses kerja lazim yang mengutamakan tahap efisyen berasaskan ‘procedure-based’. Pelaksanaan prinsip etika kerja yang menitikberatkan kepada keputusan atau keberhasilan ini akan memacu pertumbuhan dan menjamin keadilan dalam pengagihan.

Sementara ada pandangan untuk downsize anggota perkhidmatan awam, saya lebih melihat kepada keperluan untuk meningkatkan kemahiran pegawai-pegawai perkhidmatan awam melalui latihan dengan modul baru. Program-program latihan harus menjadi fokus untuk menggilap potensi supaya menjadi pegawai-pegawai yang efektif. Ini adalah kerana, anggota perkhidmatan awam merupakan aset terpenting untuk memastikan pelaksanaan dasar serta penyampaian perkhidmatan yang berkesan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Saya amat terkesan hasil daripada lawatan kerja ke Osaka dan Seoul baru-baru ini untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan. Kedua-dua negara tersebut bukan sahaja mencatatkan ketakjuban ekonomi (economic miracle) dan kepesatan teknologi, malah masih terikat dengan budaya dan nilai murni bangsa. Negara Jepun merupakan negara Asia pertama yang diiktiraf sebagai negara maju.

“Dasar Pandang Ke Timur” yang diperkenalkan pada awal 80’an perlu diperkembangkan ke negara Korea Selatan memandangkan pencapaian negara tersebut dalam bidang teknologi dan inovasi dan menjadi saingan utama kepada Jepun. Bukan sahaja etika kerja bangsa Korea Selatan cukup ampuh tetapi nilai hormat menghormati juga mendasari masyarakatnya.

Anggota perkhidmatan awam di Jepun dan Korea Selatan yang inovatif dan berketerampilan di samping nilai serta budaya kerja yang mantap dan efisyen memainkan peranan penting untuk merangka dasar negara masing – masing. Mereka menggubal dasar yang menjamin kepentingan negara dan menjadi tonggak serta teras dalam perlaksanaan dasar tersebut.

Sebagai contoh di Osaka, sistem pengangkutan awam bukan sahaja efisyen dan bersepadu malah ianya turut mesra alam termasuk penyediaan lorong basikal dalam bandar – bandar utama. Anggota perkhidmatan awam di Jepun digalakkan untuk berbasikal ke tempat kerja. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk berbasikal daripada hotel ke Osaka City Station.

Sewaktu di Osaka juga, saya telah berpeluang untuk menyelurusi pengalaman syarikat gergasi Daihatsu Motor Co Ltd. Daihatsu bukan sahaja memperlihatkan teknologinya yang canggih, tetapi juga etika kerjanya yang terpuji. Daihatsu telah membina muziumnya sendiri yang dikenali sebagai ‘Humobility World’ bagi memaparkan sejarah kejayaannya sebagai sebuah konglomerat antarabangsa dengan teknologi yang bertaraf dunia beserta ribuan pekerja mahir lagi berdedikasi.

Reformasi atau perubahan sikap ini bermula daripada era pemerintahan Maharaja Meiji di abad ke-19 yang turut dikenali sebagai Meiji Restoration.

Maharaja Meiji yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas era ‘Tokugawa Shogun’ telah melakukan perubahan besar kepada beberapa sistem pemerintahan termasuk mendirikan sistem pemilihan parlimen, memperkuat ketenteraan darat dan laut, membangun sistem pengangkutan dan komunikasi, meluaskan dan memartabatkan soal pendidikan sehingga berjaya mendirikan sebuah negara Jepun moden yang kita kenali pada hari ini.

Kita harus mengambil contoh daripada kemandirian bangsa Jepun ini yang telah menjadikan ancaman sebagai pendorong atau pemangkin perubahan sikap serta budaya kerja sehingga berjaya membangun sebuah bangsa dengan jatidiri yang dikagumi dunia. Anggota perkhidmatan awam juga turut menjadi tonggak dalam pelaksanaan dasar yang digubal oleh pihak eksekutif.

Sementara di Seoul, saya berpeluang berbincang dengan Timbalan Datuk Bandar berkenaan pengurusan hal ehwal Bandaraya Seoul. Saya kagum dengan kejayaan Seoul City Council yang berjaya menguruskan sebuah bandaraya dengan 10 juta rakyat (dua kali jumlah rakyat seluruh Negeri Selangor).

Kita juga boleh mengambil contoh daripada kejayaan Korea Selatan dalam pengurusan sungai. Kejayaan mereka ini adalah hasil daripada penglibatan langsung anggota perkhidmatan awam yang turut berkongsi visi dan misi yang melihat kepada sungai sebagai sumber ekonomi dan pelancongan.

Sungai Cheonggyecheon merupakan sebatang sungai sepanjang 8.4 km di tengah-tengah bandar lama Seoul telah dipulih menerusi projek urban renewal. Sungai ini yang pada asalnya begitu kotor telah dikambus dan dibina lebuhraya di atasnya.

Pada tahun 2003, Datuk Bandar Seoul, Lee Myung Bak telah memulakan projek memulihkan semula Sungai Cheonggyecheon dengan mengorek kembali tanah dan membuang lebuhraya di atasnya. Sungai tersebut kini amat bersih dan menjadi destinasi pelancongan yang cukup terkenal.

Saya ingin mengajak pimpinan, pegawai dan anggota perkhidmatan awam untuk mengambil contoh kejayaan di Jepun dan Korea Selatan bukan sahaja dalam konteks kecanggihan teknologi dan inovasi tetapi juga etika kerja yang mulia.

Selangor harus muncul sebagai smart state di pentas global. Kita harus berfikir dalam kerangka Selangor sebagai sebuah negeri global dan negeri serantau. Dengan tercapainya hasrat dan matlamat ini kelak akan memberi kesan positif dan kebaikan bukan sahaja kepada Negeri Selangor, tetapi juga kepada pembangunan negara.

Saya yakin kita boleh melakukan paradigm shift. Anjakan paradigma ini penting untuk kita melaksanakan “Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli”.

Saya mengambil sikap terbuka untuk menerima kunjungan ketua-ketua jabatan atau pegawai perkhidmatan awam bagi berkongsi pandangan serta idea-idea baru yang membantu perjalanan urus tadbir kerajaan bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Kerajaan Negeri komited untuk membudayakan nilai kerja yang cemerlang dikalangan penjawat awam dan eksekutif untuk sama-sama menyumbang tenaga bagi kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Negeri menghargai sumbangan anggota perkhidmatan awam yang cemerlang dengan peluang kenaikan pangkat pada usia yang muda kerana gandingan pengalaman dan tenaga baru amat penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi baru dan membangunkan negeri.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang adalah pendorong kepada pegawai dan anggota perkhidmatan awam untuk terus mencurahkan khidmat bakti serta idea demi mencapai misi dan visi Kerajaan Negeri Selangor.

Akhir kata, saya turut ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada warga kerja yang beragama Islam.

Maka dengan lafaz , marilah kita sama-sama sempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2014.

Sekian. Terima kasih.


Pengarang :