Selangorkini
NASIONAL

Usik mengusik ceriakan sesi petang sidang Parlimen

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Sesi petang persidangan Parlimen yang berlangsung agak suram diselamatkan dengan adengan usik mengusik antara beberapa Ahli Parlimen.

Gelagat itu dimulakan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) yang mengusik Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad (PAS) kerana baru memenangi jawatan Naib Presiden PAS pada muktamar tahunan, baru-baru ini.

ustaz idris ahmadNazri yang pada mulanya menyangka Idris berdiri untuk bertanya soalan sambil berseloroh bertanya sama ada benar beliau kini menjadi Naib Presiden.

“Saya ingat Naib Presiden nak bertanya. Betulkan Naib Presiden?,” kata Nazri ketika menggulung perbahasan persidangan, di sini, hari ini.

Kata beliau itu menyebabkan Idris dan beberapa Ahli Parlimen lain ketawa.

Pada masa sama, Nazri juga tidak melihat Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abd Rahman (PKR) yang berdiri untuk bertanya soalan.

“Maaf Indera Mahkota, saya tak nampak tadi. Lain kali berdiri atas kerusi,” katanya.

Kata Nazri dibalas Fauzi dengan mendakwa beliau sedang ‘berdiri’ di atas kerusi ketika itu dan jawapan spontan itu sekali lagi menyebabkan suasana dewan yang suram kembali riuh dengan ketawa Ahli Parlimen.

-NFN-


Pengarang :