Selangorkini
NASIONAL

Gerakan Demi Malaysia teruskan Himpunan #TangkapNajib

Oleh: AFIX REDZUAN

BANGSAR, 30 JULAI: Gerakan Demi Malaysia tetap dengan keputusan meneruskan himpunan #TangkapNajib Sabtu ini (1 Ogos) di Sogo walaupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta ia dibatalkan.

Adam Adli Abd Halim selaku jurucakap gerakan ,berkata amaran Ketua Polis Negara itu disifatkan sebagai taktik menghalang anak muda berhimpun mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

“Sehingga hari ini, perdana menteri masih gagal menjawab persoalan bagaimana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat menyelesaikan hutang yang ditanggung syarikat itu berjumlah puluhan bilion ringgit.

adam“Menyedari keperluan mendesak untuk menyelamatkan negara dan membebaskan rakyat daripada terus terjerumus ke dalam ketidaktentuan ekonomi, politik dan sosial, maka anak muda sepakat menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri serta-merta.

“Demi Malaysia menyeru seluruh anak muda dan rakyat hadir ke himpunan aman ini bermula jam 2 petang,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mereka mensasarkan penyertaan lebih 500 orang dan menggesa peserta mengenakan pakaian berwarna putih.

Katanya, himpunan di Kuala Lumpur sudah biasa berlaku dan dijalankan secara aman tanpa mengganggu keharmonian negara.

“Ini adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan. Tidak perlu bagi kami minta permit dan sebagainya.

Himpunan batah GST KL (9) (1)“(Desakan polis) hanyalah taktik pihak berkuasa menghalang orang daripada mengikut protes ini. Tidak ada sebarang rancangan yang menyalahi undang-undang kerana semuanya seperti biasa.

“Demonstrasi bukan perkara asing di Kuala Lumpur. Protes dari besar ke kecil semua sudah dilalui. Kita tahu tak ada perkara buruk, keharmonian dan keselamatan tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Khalid semalam dianggap ketinggalan zaman dan pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan polis jika diperlukan.

Khalid juga memberi amaran keras kepada penganjur protes supaya jangan menggugat keselamatan negara.

-NFN-


Pengarang :