Selangorkini
SELANGOR

MPSp: Pengeluaran permit pembinaan OSC 3.0 hari ini

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEPANG, 1 JUL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) akan mengguna pakai sistem pelaksanaan urusan pengeluaran permit pembinaan melalui model baharu Unit Pusat Setempat (OSC) 3.0 mulai hari ini.

Yang Dipertua MPSp, Puasa Md Taib, berkata Kerajaan Negeri menetapkan perkara itu dan pihaknya akan mempraktikkan pelaksanaan sistem terbabit.

“MPSp secara dasarnya sudah menerima Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) berkenaan pelaksanaan urusan pengeluaran permit pembinaan melalui model baharu OSC 3.0.

Puasa“Mesyuarat penyelarasan bersama jabatan dalaman dan luaran terpilih diadakan bagi membincangkan tatacara terperinci berkenaan model baharu OSC 3.0 itu pada 10 Jun lalu,” katanya.

Puasa berkata, berikutan keputusan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menguatkuasakan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757], 1 Jun lalu, maka Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) dimansuhkan.

Katanya, Pertikaian dan Tribunal Pengurusan Strata, Akta 757 masih belum terpakai di Selangor.

“Justeru itu, sebarang tuntutan pihak berkepentingan boleh dibuat berdasarkan peruntukan lain di dalam Akta 757.

“Semua pihak berkepentingan di dalam sesuatu kawasan pemajuan strata yang berkenaan adalah dipohon untuk mengambil perhatian dan langkah sewajarnya dengan berkuatkuasanya akta itu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :