Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Operasi Bas Selangorku bermula hari ini

Oleh: PEJABAT SUK SELANGOR

Pelancaran perkhidmatan ‘Bas Selangorku’ merupakan detik penting dalam usaha Kerajaan Negeri bagi merealisasikan hasrat untuk menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada rakyat bagi meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat Selangor. Ianya juga merupakan tanda komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani isu-isu pengangkutan awam yang telah banyak dibangkitkan oleh pelbagai lapisan masyarakat, ditambah pula dengan pembangunan pesat dan peningkatan penduduk di negeri Selangor menjadikan hasrat ini perlu direalisasikan secepat mungkin.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap (STANCO) Pengangkutan Negeri Selangor telah merancang dan merangka kaedah bagi merealisasikan hasrat ini.

Pada masa kini, inisiatif penyediaan perkhidmatan bas secara percuma telah dilaksanakan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Sambutan dan maklumbalas dari perkhidmatan yang disediakan ini amat menggalakkan terutama dari golongan pelajar, warga emas dan orang-orang awam.

Memandangkan sambutan yang diterima di MBPJ adalah amat menggalakkan, sebagai permulaan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk memperluaskan konsep penyediaan perkhidmatan bas secara percuma ini ke tiga (3) PBT di Selangor iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan dikenali dengan nama ‘Bas Selangorku’.

Pelaksanaan perkhidmatan Bas Selangorku ini akan mula beroperasi pada 1 Julai 2015 mengikut laluan-laluan yang telah ditetapkan oleh setiap PBT dengan kekerapan perkhidmatan setiap 15 minit.

Perkhidmatan ini disediakan kepada semua lapisan rakyat setiap hari secara berjadual bermula pada jam 6.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 malam.

Kerajaan Negeri Selangor berharap agar, dengan adanya inisiatif penyediaan perkhidmatan Bas Selangorku kepada rakyat, penggunaan pengangkutan awam semakin meningkat selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkasa sektor pengangkutan awam di negeri Selangor.


Pengarang :