Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Pertemuan tergempar Ahli Parlimen bincang skandal PM

Oleh: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Perkembangan politik terkini tanah air meletakkan kita di beberapa senario yang baru, yang mungkin belum pernah kita alami dalam sejarah negara setakat ini.

Dakwaan cukup berat yang dibuat akhbar Wall Street Journal tentang sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Dato’ Sri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia, kini kelihatan berasas apabila Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara, mengesahkan beliau telah melihat dokumen sama yang dipetik akhbar tersebut dan serbuan terhadap premis ketiga-tiga syarikat yang didakwa terlibat telah berlaku semalam.

CI-MAypUwAA7E2vKegusaran di kalangan rakyat Malaysia akibat perkembangan terkini ini tidak memungkinkan KEADILAN dan parti-parti Pembangkang malah di kalangan UMNO-Barisan Nasional sendiri untuk terus berdiam diri.

Walaupun kita menanti laporan penuh mengenai kes ini dari semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab, namun kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan kepentingan rakyat dan negara terjamin.

Oleh itu, saya akan memanggil satu pertemuan Ahli-Ahli Parlimen dari semua parti-parti Pembangkang malah juga dari UMNO-Barisan Nasional untuk membincangkan keadaan politik terkini dan halatuju negara.

Pertemuan ini akan diadakan pada hari Selasa, 7 Julai, jam 12 tengah hari di Parlimen. Maklumat lanjut mengenai tempat pertemuan akan diberi kemudian.

Saya juga memanjangkan jemputan terpilih kepada pimpinan-pimpinan badan bukan kerajaan (Non-Governmental Organizations, NGOs) untuk bersama-sama di dalam pertemuan tergempar ini.

Saya berharap melalui pertemuan ini, Ahli-Ahli Parlimen dari semua parti serta NGO dapat menzahirkan satu keputusan yang melambangkan keprihatinan rakyat seluruh negara kepada kebolehpercayaan rakyat terhadap kepimpinan Dato’ Sri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Satu sidang media akan diadakan di Parlimen pada jam 2.30 petang, selepas pertemuan ini.

* Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden KEADILAN dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia


Pengarang :