NASIONAL

PKR: Hentikan perselisihan politik, rakyat memerhati

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 25 JUL: Semua pihak dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) patut menghentikan perselisihan politik bagi menjamin sokongan berterusan dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ini berikutan pengundi sedang meneliti setiap perkembangan dalaman Pakatan dan PKR sendiri.

“Kepimpinan politik perlu menerapkan amalan politik berasaskan nilai murni sejagat dengan menyatukan, mendengar, menghormati, mengupayakan, mengkongsikan sumber dan kuasa serta bersyura.

Wan Azizah“Tujuan politik kita adalah untuk membina sebuah negara yang adil untuk semua dan menjaga amanah politik dengan mengutamakan prinsip kepentingan rakyat,” kata Dr Wan Azizah pada program Jelajah Amanat Presiden di Dewan Sri Siantan, di sini semalam.

Beliau turut mengingatkan empat dasar bersama asas kesepakatan Pakatan dengan satu matlamat iaitu memperjuangkan demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mapan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; mengukuhkan hubungan persekutuan – negeri dan dasar luar negara.

Katanya lagi, bagaimanapun dasar bersama Pakatan itu hanya dapat dicapai selepas Pakatan menerajui Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Justeru itu, Dr Wan Azizah menggesa semua pihak dalam PKR membuat persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya pilihan raya diadakan.

Tambah Dr Wan Azizah, antara persediaan awal yang perlu diambil termasuklah merekrut, melatih dan memantapkan keahlian PKR, mengenalpasti dan melatih pemimpin semua peringkat, membina dan menggerakkan jentera pilihan raya serta membina jaringan dengan pihak berkepentingan.

Beliau turut menggesa semua pihak dalam PKR mengenalpasti isu tempatan dan nasional untuk pembentukan dasar dan menyokong dan mendokong masyarakat madani.

EZY


Pengarang :