SELANGOR

7 projek Rumah Selangorku dibangunkan 2015

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 25 OGOS: Sejumlah tujuh projek Rumah Selangorku dibangunkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi tahun ini.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad berkata, setakat ini dua projek sudah diberikan Kebenaran Merancang (KM) manakala lima lagi bakal diberikan menjelang hujung tahun.

Katanya, kelima-lima projek Selangorku itu juga lulus di peringkat Kerajaan Negeri.

IMG_7149“Kita menyokong pembinaan Rumah Selangorku dan bersedia memberikan KM apabila dipohon pemaju.

“Salah satu projek mendapat KM setakat ini ialah anak syarikat Mitrajaya Holdings Sdn Bhd iaitu Leo Vista Sdn Bhd.

“Sementara satu projek lagi adalah di bawah pemaju Sime Darby Property di Putra Heights,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Upacara Pecah Tanah bagi Projek Pembangunan 408 Unit Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) di Taman Prima Puchong di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Mitrajaya Holdings Berhad, Tan Sri Ismail Hassan dan Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Sebanyak dua blok akan dibina meliputi 272 unit di Blok A setinggi 18 tingkat dan 136 unit di Blok B setinggi 16 tingkat.

Pecah tanahKediaman berstrata itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti tempat letak kereta, tadika, dewan, surau, pejabat pengurusan, ruang perniagaan, kawasan lapang dan gelanggang bola keranjang.

Berkeluasan 900 kaki persegi, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang dapur, ruang jemuran serta kemudahan akses ke hentian Transit Aliran Ringan (LRT) – yang kini dalam pembinaan serta lebuh raya utama.

Projek yang bermula Oktober 2015 dan dijangka siap 2018 itu dijual pada harga RM180,000.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di lphs.selangor.gov.my untuk pendaftaran dan maklumat lanjut projek Rumah Selangorku.

EZY


Pengarang :