Selangorkini
NASIONAL

Anwar: Jangan musnahkan integriti SPRM dan Bank Negara

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 OGOS: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong dan melindungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Bank Negara yang diasak hebat akhir-akhir ini.

Dalam kenyataannya yang disampaikan melalui peguam dan juga Ahli Palimen Subang, R Sivarasa, Anwar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan segala tindakan mengganggu dan mengancam pegawai siasatan agensi kawal selia negara.

“Saya merujuk secara khusus bagaimana PDRM diguna untuk menangkap, menyoal siasat, bahkan mereman anggota SPRM, termasuk mereka yang terlibat di dalam siasatan RM42 juta wang rakyat melalui SRC International dimasukkan ke akaun peribadi Najib di AmBank.

anwar“Terdapat juga tanda Bank Negara iaitu institusi kawal selia yang teramat penting turut diancam. Mustahak bagi negara dan keadaan ekonomi supaya Bank Negara terus dilihat sebagai sebuah badan bebas, profesional dan berintegriti,” katanya.

Katanya, Bank Negara wajib dibenarkan menjalankan tugas tanpa kekangan terutama di dalam aspek pengesanan dan pencegahan pengubahan serta aliran wang haram.

“Jika Bank Negara dilihat cuai dan tidak cekap menjalankan tugas akibat gangguan politik, maka ekonomi negara akan mengalami kesan yang amat serius.

“Saya menggesa rakyat, Ahli Parlimen semua parti, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil mengetepikan perbezaan serta bersatu untuk menyelamatkan negara kita dari krisis politik juga ekonomi yang melanda sekarang,” katanya.

-NFN-


Pengarang :