Selangorkini
NASIONAL

BERSIH 4.0: “Saya sokong rakyat”

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kehadirannya pada Bersih 4.0 bukan menyokong himpunan itu tetapi menunjukkan solidariti kepada rakyat.

Mahathir berkata, beliau menyokong tindakan rakyat berhimpun di Dataran Merdeka untuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

IMG-20150830-WA0005“Saya sokong rakyat bukan Bersih. Bersih juga rakyat, mereka pun tak suka Najib tapi ada orang nak burukkan nama saya kononnya sokong Bersih.

“Bukan semua pakai baju kuning, ada juga yang tak pakai baju kuning. Saya hadir sebagai solidariti kepada rakyat,” katanya di sebuah restoran, di Pasar Seni, di sini, hari ini.

Memetik Malaysia Kini, Mahathir hadir dengan menaiki KTM Komuter dari Salak Selatan dan turun di stesen Kuala Lumpur kemudian berjalan ke Pasar Seni.

Kehadiran itu adalah kali kedua daripada Mahathir  yang ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tetapi tidak memakai baju kuning.

Beliau berkata, tindakan demonstrasi itu adalah pilihan terakhir rakyat untuk menjatuhkan kerajaan sambil memberikan contoh bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang digulingkan dengan cara sama.

IMG_20150829_164757“Jika kerajaan tak peduli undang-undang, kena guna demonstrasi. Itu pilihan terakhir. Lihat Marcos, bila rosakkan negara, maka rakyat terpaksa buang dia,” katanya.

Mahathir juga mengakui pertama kali menyertai perhimpunan seperti itu dan kehadirannya nyata menggamatkan suasana tetapi terkawal.

Sementara itu, Siti Hasmah pula menasihatkan semua pihak bersatu tanpa mengira parti politik.

“Sama seperti ketika ingin menuju kemerdekaan, bagaimana kita semua bersatu. Insya Allah.

“Tak kira Bersih, PKR atau PAS ke, kita orang Malaysia. Jika bersatu padu, kita akan capai matlamat, jadi tolonglah bila datang keadaan macam ini, tiada keganasan,” katanya.


Pengarang :