CERPEN: Sarapan dengan cinta | Selangorkini


CERPEN: Sarapan dengan cinta

Oleh Al Abror Mohd Yusuf

Dia menghembus nafasnya lepas bebas. Udara yang lembab tapi hangat itu terapung-apung setengah detik sebelum dilontar entah ke mana oleh deru angin dari kipas yang tergantung di siling. Di lantai bangkai-bangkai rokok bertaburan. Ehsan Azwani menyedut rokok kreteknya lagi. Sedikit bara di hujung rokok itu meliar terbang dan singgah di pahanya. Cepat ia membakar kain dan mencucuk daging paha, Ehsan Azwani terkejut. Cinta pun hilang.

Hari sudah semakin panas tetapi belum pun tengah hari. Keriuhan kian terasa dan penjaja sayur-sayuran dan ikan di depan restoran mula mengemas dagangan masing-masing. Mereka bersedia untuk pulang.


Ehsan Azwani kemudian berteleku di meja yang sudah dihadapnya sejak dua jam yang lalu. Dia kurang memberikan perhatian kepada sekeliling. Baginya, tidak ada yang lebih penting daripada Cinta yang menemaninya sejak awal tadi. Tidak ada.

“Memang takdirnya kita begini, Ehsan,” kata Cinta. Tangannya terasa mengelus rambut lelaki itu. Ehsan Azwani melentokkan kepalanya ke kanan supaya ia lebih akrab dan dekat dengan tangan Cinta. Matanya dipejamkan rapat-rapat. Ehsan Azwani berasa dia seolah-olah pencandu rindu yang amat tegar dan dia tidak peduli jika tindak-tanduknya itu menyebabkan orang lain meluat. Dan memang tidak ada sesiapa pun yang peduli lentokan serta mata pejam Ehsan Azwani.

“Aku perlukan kau setiap masa,” kata Ehsan Azwani perlahan, hampir-hampir bersifat bisikan untuk dirinya sendiri.

Dengung dari kipas dalam kotak logam yang membekalkan penyaman udara ke dalam pasar raya di sebelum restoran itu menenggelamkan hampir semua kata-kata yang diucap. Untuk berbual pelanggan restoran terpaksa meninggikan suara – suatu perbuatan yang tidak perlu jika mereka mengunjungi premis lain yang kurang bingit. Entah mengapa mereka masih gemar ke restoran itu walaupun terpaksa bercakap seperti menjerit untuk melawan bunyi kipas berdengung itu.

Ehsan Azwani mencelup roti canai ke teh tarik di depannya. Kuah dal dan kari yang ada di dulang besi tidak diusiknya. Hati sedang diamuk cinta – segalanya serba aneh. Roti canai dengan kuah dal atau kari bukan selera Ehsan Azwani pada pagi itu. Dia mahu yang manis-manis saja. Semanis Cinta yang ada bersamanya.

Masa terus berjalan seadanya. Namun Ehsan Azwani rimas kerana baginya, masa bukan sekadar mencemburui malah dengki khianat kepadanya. Sedetik berlalu dirasakan Ehsan Azwani bagaikan lima saat lebih laju dari biasa. Ehsan Azwanimakin resah. Dia mahu lebih lama di sisi Cinta. Dia mahu lebih mesra dengan Cinta. Dia mahu lebih bermanja di bahu Cinta.

Lama dia menunggu kata-kata daripada Cinta. Sangat lama. Maka terpaksa Ehsan Azwani menahan dirinya untuk bersabar. Dia tertunggu-tunggu bibir mulus Cinta. Bagi Ehsan Azwani kalau Cinta mendengus pun, memadailah. Tidak perlu kata-kata bombastik, atau ayat berbunga-bunga untuk mengubat derita jiwa gersangnya ketika itu.

Ehsan Azwani membuka mulutnya. Cinta dengan lemah lembut menghulurkan gelas berisi teh tarik untuk dihirupnya. Dia mencicip minuman itu agar tidak habis sepenuhnya. Biar ia lebih lama bertakung di dalam gelas. Ehsan Azwani mahu terus memesrai Cinta dan suasana di restoran itu. Andainya ditakdirkan Cinta meminta mereka bermalam di situ sehingga lusa pun, dia pasti rela.

“Hmmmm…” Cinta mengeluh. Ehsan Azwani segera memandang dengan teliti. Bimbang jika Cinta kepanasan. Cinta mendongak sambil memejamkan mata. Pandangan Ehsan Azwani tertancap pada leher jinjang Cinta. Dia melihat taburan bulu roma yang halus dan hampir-hampir tidak kelihatan di situ.

“Kau panas, Cinta?” tanya Ehsan Azwani. Cinta tidak menjawab. Segera Ehsan Azwani mendongak juga mencari kalau-kalau ada kipas yang terlupa dihidupkan oleh pekerja restoran itu. Nampaknya semua kipas berputar dengan laju. Ehsan Azwani lega. Itu bermakna peluangnya untuk berada di sisi Cinta lebih lama akan terbuka luas.

“Nak minum apa?” tanya Ehsan Azwani lembut. Dia sengaja melembutkan percakapannya selembut mungkin. Tidak sanggup dia mengasari hati wanita secantik dan seromantik itu. Tidak. Cinta tidak menjawab. Dia cuma melirik manja memandang Ehsan Azwani dan waktu tiba-tiba terasa bagaikan terpasung seketika. Hati Ehsan Azwani berdegup kencang.

Ehsan Azwani menggandeng tangan Cinta dan meletakkannya di paha berbalut jeans biru lusuh dan keperangan kerana sudah dua minggu tidak berbasuh. Panas telapak tangan Cinta terasa meresap jauh ke dalam tulang.

Pertemuan itu memang tidak dijangka. Ia adalah sangat spontan dan dramatik – sekurang-kurangnya untuk Ehsan Azwani. Berawal secara spontan dan bersahaja, tetapi kemudian perlahan-lahan berkembang menjadi antara detik paling indah dalam hidup lelaki berusia 40 tahun itu.

Ia seolah-olah siri drama bersiri di televisyen setiap senja yang penuh dengan suspen, intrig dan ketegangan. Sebagai seorang lelaki yang berasakan dirinya matang Ehsan Azwani membiarkan detik berlalu sewajarnya dan pertemuan itu berlangsung semesranya.

Kipas siling berputar ligat. Mungkin pada kelajuan maksimum. Ia tidak peduli kepada sesiapa pun yang berada di dalam restoran berkenaan. Tidak perlu peduli sama ada pelanggan panas atau sejuk, kipas itu berputar taat mengikut kelajuan yang ditetapkan pelayan.

Ehsan Azwani berjalan meninggalkan kereta Wiranya yang tiga bulan tidak disentuh sabun cucian kenderaan di bawah pokok ketapang di belakang restoran apabila matanya terpandang selembar kertas berwarna dibawa angin singgah di cermin kereta di sebelahnya.

Kertas agak tebal dan berkilat itu cepat menarik perhatiannya. Angin memang agak kuat pada pagi itu. Sebelum angin membawa kertas berwarna itu pergi lebih jauh Ehsan Azwani menyambarnya. Ehsan Azwani memandang halaman berkenaan.

Wajah seorang gadis genit berbaju kebaya yang dikenali sebagai pelakon popular itu tersenyum lebar terpampang pada helaian berkenaan. Mengiringi gambar berkenaan ialah sedikit rencana yang diawali tajuk: “Cinta nafi punca cerai artis.”

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION