Selangorkini
NASIONAL

Dr Rosli: Sudah sampai masa BNM kaji guna rizab luar stabilkan Ringgit

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 Ogos: Sudah sampai masa Bank Negara Malaysia (BNM) campur tangan dalam pasaran matawang asing bagi menstabilkan nilai Ringgit ke paras difikirkan munasabah, kata mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob.

Dr Rosli berkata BNM boleh membeli matawang Ringgit menggunakan rizab BNM yang merupakan pegangan emas, pegangan Dollar Amerika dan lain-lain pegangan di luar negeri.

“Cara untuk menstabilkan nilai Ringgit, BNM kena campur tangan pertukaran wang asing untuk membeli dan menjual Ringgit dan dalam kes ini kena banyak beli matawang Ringgit supaya nilai Ringgit dapat dinaikan dan akhirnya distabilkan ke sasaran yang munasabah.

Bank-Negara-Malaysia“Bagaimanapun ada hadnya dalam penggunaan rizab untuk menstabilkan nilai Ringgit kerana kita tak boleh gunakan rizab terlalu banyak semata-mata untuk menstabilkan nilai Ringgit,” kata Dr Rosli kepada Selangor Kini.

Jelas Dr Rosli, walaupun langkah ini mampu merangsang pedagang matawang membeli Ringgit tetapi tetap mempunyai risiko kegagalan sekaligus merugikan penggunaan rizab yang dilaburkan.

Katanya, langkah menstabilkan nilai Ringgit penting bagi mengurangkan kerugian kadar tukaran matawang dalam urusan import dan eksport negara.

“Keyakinan pelabur luar juga terjaga sekaligus mengelakkan mereka mencairkan pegangan saham mereka di Bursa Saham dan membawa keluar tunai ke luar negara,” katanya.

Kata Dr Rosli, sekiranya kejatuhan nilai Ringgit semakin tidak terkawal, BNM perlu melaksanakan dasar kawalan pertukaran asing dengan kawalan modal dan sebagainya dan akhirnya BNM peru melaksanakan semula dasar kekangan ringgit pada kadar yang munasabah.

Bagaimanapun langkah menambat Ringgit ini hanya perlu dilakukan dengan pertukaran matawang utama dunia seperti Dollar Amerika.

EZY


Pengarang :