Selangorkini
NASIONAL

FOMCA: Perkukuh sektor pertanian & makanan elak bergantung import

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 24 OGOS : Kerajaan Persekutuan digesa memperkukuh sektor makanan dan pertanian negara agar tidak bergantung kepada import sepenuhnya, kata Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman.

Mohd Yusof berkata kebergantungan tinggi bekalan makanan daripada negara luar memberi kesan buruk dan membebankan rakyat sekiranya berlaku krisis ekonomi dan penurunan nilai ringgit seperti hari ini.

“Sudah tentu pengguna terbeban dengan situasi begini, nilai ringgit rendah berdepan dengan transaksi pembelian barangan import (US Dolar) dan ia bertambah parah sekiranya negara pengeluar menaikan harga atas sebab tertentu.

FOMCA“Sebagai persediaan, negara perlu merancakkan industri pertanian seperti sayuran, cili, beras dan sebagainya agar negara tidak terkesan sekirannya berlaku perubahan harga dari negara luar,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jangkaan kenaikan harga bawang beberapa minggu lagi memandangkan negara mengimport sejumlah besar barang keperluan itu dari India.

Kerajaan India mengambil langkah drastik menaikan eksport minimum bawang kepada US$700 (RM2,870) satu tan bagi menjamin kewujudan bekalannya di pasaran tidak putus.

Ketetapan itu diambil berikutan kemerosotan pengeluaran berpunca daripada cuaca buruk (hujan luar musim) yang dijangka berlarutan hingga akhir September sekaligus menjejaskan bekalan bawang sedia ada dan yang baru dituai di pusat pengeluaran utama di India.

fomca 3“Tiada jalan lain sebaliknya situasi ini perlu dihadap pengguna kerana kebanyakkan barangan keperluan asas seperti bawang, gandum (tepung), cili, bahkan beras negara masih bergantung kepada barangan import,” katanya.

Semakan Selangor Kini ke atas statistik Tahap Sara Diri Komoditi Makanan Utama, 2006-2011 (Self-Sufficiency Level Of Major Food Commodities, 2006-2011) mendapati bahawa pengeluaran padi negara hanya mencapai 70 peratus keperluan negara, manakala baki 30 peratus terpaksa diimport.

Statistik diterbitkan sendiri oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia itu juga mengariskan sayuran lebih ketara kerana pengeluaran dalam negara hanya dapat menampung sekitar 40 peratus dan selebihnya harus diimport.

Pengeluaran daging lembu/kerbau pula kurang daripada 30 peratus manakala Malaysia terpaksa mengimport 90 peratus keperluan kambing/biri-biri dan pengeluaran susu sekitar lima peratus berbanding keperluan negara.

Data tersebut menunjukkan bahawa Malaysia sangat bergantung kepada import makanan dan sejak 10 tahun lepas dengan mengimport bahan makanan bernilai RM221.81 bilion.

FOMCA menyifatkan kebergantungan ini berpunca daripada keghairahan Malaysia menjadi negara industri (pembuatan dan perkhidmatan) mengatasi sektor pertanian.

AYAM fomca“Ini yang FOMCA maksudkan. Sekirannya negara mampu memberdaya sektor pengeluaran makanan dan pertanian, kita tidak bergantung harap sepenuhnya kepada barangan import.

“Ia juga mengurangkan impak dan beban pengguna yang perlu membayar tinggi kepada keperluan makanan,” katanya.

Untuk rekod, pada 1970, sekitar 55 peratus daripada tenaga kerja negara ini tertumpu dalam sektor pertanian, namun perlahan-lahan angka ini berkurang kepada 40 peratus pada 1980, merosot kepada 15 peratus (1990) dan sekitar 10 peratus pada (2010).

Akhirnya pada 2010, sektor pembuatan dan perkhidmatan membentuk lebih 70 peratus daripada guna tenaga di negara ini.

EZY


Pengarang :