Galeri Shah Alam perlu nafas baharu | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Galeri Shah Alam perlu nafas baharu

Oleh: HAFIZAN TAIB

Galeri Seni Shah memerlukan pemerkasaan untuk memastikan ia berfungsi dan dapat mengenengahkan hasil seni kepada masyarakat. Pembaharuan dirancang memerlukan sokongan semua untuk merealisasikan hasrat menjadikan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai kota seni. Ikuti sesi Q & A bersama Pengarah Yayasan Seni Selangor, Prof Madya Mohd Said Abu

Boleh ceritakan berkenaan Galeri Shah Alam dan perancangan seterusnya?


Saya masih lagi mengusahakan pembinaan sebuah bangunan galeri yang baharu dan berharap Kerajaan Negeri bersedia membantu supaya ia menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Bangunan sedia ada bukan galeri sebenar kerana asalnya pejabat kebudayaan dan kesenian Selangor.

Mohd SaidKita perlu menggunakannya kerana tiada pilihan dan disewa daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Bangunan galeri ini dalam keadaan uzur dan kita memerlukan sebuah bangunan baharu supaya pameran dan aktiviti seni dapat digerakkan dengan aktif dan sempurna.

Bagaimana perbandingan antara galeri di Selangor dengan negeri-negeri lain?

Kalau dilihat negeri lain antaranya Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan sebagainya, kebanyakan galerinya di bawah bidang kuasa muzium negeri yang mana galeri bukan bahagian utama di sesebuah bangunan. Kita tidak mahu begitu tetapi kita mahu sebuah bangunan galeri yang lengkap.

Apa diperlukan dan bagaimana mahu mewujudkan sebuah bangunan galeri penuh yang lengkap?

Yang utama bangunan perlu dibangunkan mengikut klasifikasi ditetapkan sebagai sebuah galeri. Maka dengan itu ia mempunyai segala kemudahan perlu untuk semua aktiviti terutama ruang pameran yang cukup dan lengkap untuk diadakan pameran termasuk bilik simpanan untuk menempatkan semua koleksi yang ada.

Buat masa sekarang memang kita mempunyai sejumlah koleksi berharga tetapi agak bermasalah berikutan keadaan bangunan yang agak lama.

Dalam masa lebih 30 tahun tentu galeri ini banyak mengadakan pameran dan melahirkan ramai karyawan. Boleh tuan jelaskan?

IMG_6283Memang galeri ini penuh sejarah dengan banyak pameran dibuat di sini dan banyak karyawan mencipta nama dengan memulakan karier dengan mempamerkan hasil karya di sini. Contohnya ramai mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadikannya untuk menjalankan banyak aktiviti dan pameran.

Boleh namakan antara karyawan dimaksudkan?

Antaranya Harun Mokhtar berasal dari Sungai Besar, Selangor. Karyawan lain termasuk Suzlee Ibrahim yang mana mula mengadakan pameran pertamanya di sini dan setakat ini sudah membuat 28 pameran solo dengan yang terbaharu pada 3 September depan.

Saban tahun Yayasan Seni Selangor banyak menganjurkan pameran seni dan lukisan. Apa perancangan seterusnya bagi memajukan bidang ini dan mungkin ada usaha untuk mengadakan pameran besar atau antarabangsa di sini?

Kita mengadakan pameran dan aktiviti secara berterusan baik untuk peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Setakat ini memang Galeri Shah Alam mendapat perhatian dan sambutan baik dan dianggap yang kedua selepas Balai Seni Lukis Negara.

Kita juga sudah banyak mengadakan pameran untuk pelukis luar serta bekerjsama dengan pihak luar mengadakannya di luar negara.

Memang kita mempunyai cita-cita untuk mengadakan pameran besar atau utama tetapi apa yang penting adalah sebuah bangunan galeri baharu perlu diwujudkan bagi merealisasikannya.

Jika berjaya kita boleh mengadakan apa saja pameran dan mengundang nama besar ke sini. Kalau Singapura boleh mengadakan pameran Picasso maka kita juga boleh jika kemudahan itu disediakan. Saya berharap galeri baharu ini dapat diwujudkan segera.

Setakat ini apa masalah utama dihadapi di galeri ini?

IMG_6307Masalahnya jika hujan dan kawasan galeri ini saya gelarkan ‘air terjun’ yang mana bukan sahaja air datang dari atas tetapi juga dari bawah. Terdapat bahagian atau banyak yang dimasuki air dan memang ia antara masalah utama dihadapi di bangunan ini.

Saya memang berharap sangat supaya Kerajaan Negeri membantu segera dengan ianya dibangunkan semula demi memartabatkan seni di Selangor.

Apa rancangan seterusnya bagi menarik minat orang ramai terhadap seni dan berkunjung ke galeri?

Kita sentiasa menggerakkan aktiviti secara aktif dan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak supaya ia mampu diadakan secara berterusan. Setakat ini kita mendapat maklum balas positif dengan kehadiran memberangsangkan daripada masyarakat.

Memang pameran dan aktiviti dijalankan seperti lukisan, fotografi, arca dan sebagainya memenuhi syarat dan minat semua karyawan, peminat termasuk orang ramai.

Bersesuaian dengan hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai kota seni, kita berusaha merealisasikannya dengan terus menggerakkan pelbagai program berkaitan seni.

Kerajaan Negeri banyak membantu yayasan bagi menjayakan segala aktiviti termasuk menyediakan peruntukan secukupnya.

Harapan kita semoga bangunan baharu dapat dibina segera supaya satu galeri penuh dan lengkap tersergam di Shah Alam khususnya Selangor.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION