Selangorkini
SELANGOR

Kenapa menteri risau DEIG berbanding skandal 1MDB?

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 24 OGOS : Kebimbangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan terhadap Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) mengatasi isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibidas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, Abdul Rahman tidak wajar mengkritik DEIG yang belum beroperasi sebaliknya logik berbuat demikian terhadap 1MDB yang terpalit pelbagai isu membaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“DEIG belum mula beroperasi, tidak mempunyai aset atau kumpulan wang, malahan tiada satu transaksi dijalankan, melainkan jika ada akaun rahsia sahaja yang boleh menyalurkan berbillion ringgit kepada Menteri Besar.

Najib-1MDB“Bagi pengkritik yang begitu bimbang dengan DEIG, yakinlah bahawa DEIG bukan 1MDB.

“Seperti yang dijelaskan Menteri Besar, 1MDB adalah sumbangan, berbeza dengan DEIG merupakan satu pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Abdul Rahman kononnya pengurusan aset DEIG bernilai RM30 bilion adalah serius dan lebih besar berbanding derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.

DEIG dibarisi Setiausaha Kerajaan Negeri, Bendahari Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Ketua Pegawai Operasi MBI sebagai ahli lembaga dan kepakaran profesional yang berkaitan dalam bidang pelaburan di bawah jagaan Menteri Besar.

Ia juga tertakluk kepada Akta Syarikat 1965, Seksyen 169 (1) untuk mengisytiharkan akaunnya yang boleh dilihat melalui portal Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Akaun-akaun ini juga akan diteliti melalui audit bagi tujuan ketepatan dan keseimbangan.

Zuraidah berkata, sebuah kerajaan yang bagus akan mengamalkan sistem korporat terbaik supaya tiada penyalahguanaan kuasa atau salah urus dana.

“DEIG adalah di bawah jagaan sepenuhnya MBI dan seterusnya bertanggungjawab kepada DUN bagi ketelusan dan akauntabiliti.

“Kerajaan Selangor juga bertanggungjawab menyediakan perumahan rakyat mampu milik, menjalankan program komuniti, menyalurkan bantuan kebajikan pendidikan dan kesihatan serta warga emas,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.

EZY


Pengarang :