Amuk Malam Merdeka: Antara satira komedi dan falsafah | Selangorkini


Amuk Malam Merdeka: Antara satira komedi dan falsafah

 

Oleh Rahmat Hussein

Tiada yang lebih sukar daripada menjadi Melayu. Tidak pasti di manakah terdengarnya kata-kata ini – di Brickfields atau di Bangsar Utama?


Sepanjang tiga dekad menjadi ‘Melayu’, kata-kata ini makin tampak benarnya. Melayu sering dimomok sebagai lemah, malas, tidak mampu bersaing. Baru-baru ini, di’bangsat’kan pula.

Sesetengah Melayu melihat gagalnya anak Melayu kerana warisan budaya yang dianggap kolot, bahasa Melayu tanpa nilai antarabangsa dan agama yang merantai kemajuan.

Lalu, mereka membuang warisan budaya, keMelayuan mereka (namun, ekuiti Bumiputera 30 peratus jangan sesekali dipersoal!). Ada pula anak Melayu melihat ‘kegagalan’ itu disebabkan bangsa asing – pendatang!

Apakah warisan budaya memundurkan? Adakah jati diri keMelayuan merantai kemajuan? Lebih penting, apakah maksudnya menjadi Melayu?

amukItu antara persoalan yang dibawa dalam novel Amuk Malam Merdeka karya Ronasina terbitan Dubook. Ia mengupas persoalan melalui tiga watak – Hang Tuah, Hang Jebat dan Munsyi Abdullah.

Hang Tuah – lelaki Melayu terakhir, setia kepada tradisi; akur kepada status quo. Segalanya ada aturan. Jangan sesekali menyanggah. Taat, patuh dan akur menjadi nilai tinggi seorang anak Melayu.

Akan tetapi tidaklah adil melihat Tuah begitu sahaja. Membaca Tuah perlu sampai penghujung. Bukan tamat ketika Tuah menang bertikam dengan Jebat.

Tidak pula ditonjol Tuah seorang yang mampu bertutur pelbagai bahasa. Sosok berbudaya dan menghormati serta merai kepercayaan orang lain. Inilah nilai utama keMelayuan itu sendiri.

Sangat silap apabila mengangkat budaya warisan sendiri dengan mencaci dan merendahkan budaya warisan orang lain.

Takkan Melayu hilang di dunia adalah kata-kata yang digemari orang-orang seperti Ibrahim Ali dan Jamal Sekinchan Ikan Bakar walaupun langsung tidak mereka difahami.

Ia sering digunakan Melayu untuk membakar semangat dan membenci bangsa lain. Ia dituturkan oleh Hang Tuah, seorang lelaki yang hidup di abad ke-16.

Harus fahami perkataan ‘Melayu’ dan ‘hilang’ dengan makna orang abad ke-16, bukan pemahaman kita yang hidup di abad ke-21 Hang Jebat.

Hidup mati untuk kebenaran; setia ada tempatnya, patuh ada
hadnya. Tiada lebih mulia dari bangkit menentang kezaliman serta penindasan.

Apabila rayuan tidak dilayan, rundingan tersekat, maka jalan berdarah harus dituruti. Jebat bukan hanya seorang yang mabuk darah – melulu dan terpesong.

Jebat cuba segala saluran. Namun, bagaimana mahu berbudaya dan beradat dengan mereka yang tidak berbudaya, tidak pula beradat?

Yang sering ditonjol ialah Jebat yang nekad. Bukan sebagai sosok yang dilanda dilema maha besar – bangun menderhaka, membuang pangkat, kemewahan dan nama demi membela saudaranya.

Jebat mewakili mereka yang bangkit berkorban darah, keringat dan air mata demi mempertahan adat. Menarik melihat perjalanan Jebat sebelum bulat tekadnya.

Adat pula bukan sekadar bersanding dan menepung tawar. Itulah etika, juga roh sesebuah bangsa. Adat pemimpin jangan sesekali mengkhianati amanah. Menjadi ketua jangan menindas orang bawah.

Segelintir Melayu sering menyalahkan kata-kata ‘biar mati anak jangan mati adat’ sebagi punca kegagalan. Terlalu pentingkan adat, kata mereka.

Tidak pula disalahkan haloba nafsu serakah pemerintah yang menyebabkan kerosakan. Lebih punah, apabila yang baik akal budi pekerti hanya diam seribu bahasa. Hanya mengeluh dan berserah. Lalu hancur mundurlah sesebuah bangsa. Terbangsat di bumi sendiri.

ronMunsyi Abdullah – Melayu yang dipertikai darah Melayunya dilihat sebagai hamba setia Tuan Raffles. Sosok itu meranduk arus zaman tanpa menghiraukan cemuhan. Baginya, tiada tempat buat pemikiran kolot dan kepercayaan karut dalam mengharungi arus kemajuan.

Diteliti tiga watak itu, jelas mereka mewakili jalur pemikiran berbeza. Jalur konservatif, radikal dan intelektual moden.

Tiga watak itu memiliki akar sama iaitu warisan budaya sebagai jati diri. Walaupun Tuah hamba yang taat setia, Jebat dengan amukannya serta Munsyi dengan daya intelek pekat orientalisnya, mereka tetap punyai akar jati diri Melayu yang kukuh.

Ia datang dari pemahaman bukan retorik perkauman sempit dan politik ketuanan yang dusta. Faham maksudnya “biar mati anak jangan mati adat”. Mengerti ungkapan “takkan Melayu hilang di dunia”.

Menjadi masalah apabila melihat bangsa dari kaca mata generalisasi perkauman.

Naskhah 143 halaman itu membawa persoalan agak berat secara santai. Elemen komedi sedikit sebanyak menenangkan akal yang mula berserabut melayan persoalan yang dibawa.

Watak sampingan tambah mewarnai naskhah itu. Bukan seperti membaca teks khutbah. Ini kerana tiga watak itu bukan sahaja diangkat kehebatannya tetapi juga dirai kepandiran mereka.

Malah, tajuk naskhah itu juga tidak harus dilihat sebagai satu frasa tetapi perkataan yang berdiri sendiri.

AMUK adalah sifat Melayu yang diperkata dunia Barat. MALAM keadaan Melayu ketika ini. Ketahuilah, terang cahaya akan tiba selepas gelita malam pekat hitamnya. MERDEKA persoalan yang sering berlegar. Apa itu merdeka? Merdeka itu bagaimana? Merdekakah kita?

Acuan satira komedi sarat falsafah itu menghiburkan, malah membuka mata. Persoalannya, apakah khalayak pembaca akan menyambutnya? Atau terus terbuai, dicandui novel romantika cinta?

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION