ARTIKEL SENI: Membakar Rumah Sastera | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


ARTIKEL SENI: Membakar Rumah Sastera

Oleh Wan Nor Azriq

RAMAI yang telah mencubanya. Tetapi rumah tua ini sangat ketegar. Rumah yang sudah beratus-ratus tahun usianya ini enggan tunduk, enggan mengalah, dan enggan menjadi abu. Ibarat hantu yang hidup semula setiap kali kepalanya dipenggal.

Barangkali, sebenarnya, rumah ini telah lama terbakar. Rumah ini telah lama mati dan ditinggalkan orang. Sastera yang kita sangka hidup sebenarnya hanya kubur untuk menyimpan tulang-tulang reput pengarang lama dan kubur untuk politikus-politikus bahasa memperagakan kuasa ilmu hitam mereka kepada masyarakat.


Sastera kita di Malaysia dimiliki dan dikuasai oleh institusi yang membela hantu. Tujuannya hanya satu: menakutkan pembaca supaya duduk diam-diam di rumah.

Jangan keluar buat kecoh di jalanan, jangan keluar bawa petrol dan bom ke pintu parlimen, jangan hina polis, jangan ketawakan ulama, jangan menyebarkan fitnah, jangan bakar gereja dan kuil, jangan berkahwin sesama jantina, jangan boikot Starbucks dan Utusan Malaysia, jangan baca Shit, jangan katakan tidak kepada Shuhaimi Baba, jangan katakan ya kepada Perempuan Nan Bercinta, dan jangan, jangan, jangan sesekali… keluar dari rumah dan jadi anarkis sastera.

Sebelum itu mari kita fikir betul-betul sekejap: pernahkah ada anarkis dalam sastera Malaysia?

Hamzah Hussain mungkin adalah Guy Fawkes pertama kita apabila dia melemparkan molotov cocktail ke kubu ASAS 50. Berani, tetapi gagal. Kemudian datang Noor S I, A S Amin dan M Ghazali dengan bom-bom puisi kabur.

Gempak, tetapi gagal. Kemudian datang pulak Kassim Ahmad yang kata tuhan itu mati. Keras, tetapi gagal. Kemudian datang hamba Allah bernama Mohd Affandi Hassan menghunus pedang hudud ke kepala Muhammad Haji Salleh dan S Othman Kelantan. Kurang ajar, tetapi masih gagal.

Generasi terakhir yang cuba, walaupun sekejap, membuat kecoh di pintu rumah sastera adalah penulis generasi lapan puluhan. Cerpen mereka eksperimental dan puisi mereka sangat abstrak sehingga ke hari ini tidak ada orang faham apa mereka tulis.

Tiba-tiba di zaman itu kata-kata arkaik menjadi bom penulis muda: Iga, Nanar, Uzlah. Masuk ke tahun sembilan puluhan, semua orang kembali menarik nafas lega, dan jeneral-jeneral di dalam kubu ASAS 50 kembali bersorak gembira. Pemberontakan sudah tamat.

Era sembilan puluhan adalah era paling aman dalam sejarah sastera Malaysia kerana tidak ada langsung gerakan anarkis. Tetapi era ini juga adalah era paling bungkam dan membosankan. Kalau bukan kerana Faisal Tehrani dan beberapa karya lewat Shahnon Ahmad, novel Malaysia memang sudah masuk keranda di zaman itu.

Semua penulis sebenarnya adalah seorang anarkis di zaman muda sebelum dia menjadi penyokong status quo di usia tua. Sebelum Roberto Bolano menjadi Roberto Bolano, dia adalah seorang anarkis di Mexico yang akan hadir ke majlis baca puisi Octavio Paz dan memotong bekalan elektrik.

Kebanyakan penyair mati di usia muda kerana apabila suara anarkis dalam kepala mereka berhenti menjerit, maka tubuh mereka berhenti bernyawa. Chairil Anwar dan Wiji Thukul mati di usia yang tepat. Mereka meninggalkan sastera ketika bara api masih panas.

Penyair yang enggan membakar kata-kata sama sahaja dengan naga yang enggan keluar dari gua dan membakar dunia.

Tahun ini adalah antara tahun paling menggelisahkan untuk semua orang. Di sana sini, kita nampak api kemarahan menyala-nyala dalam mata dan jantung rakyat.

Rumah ingin dibakar dan penjenayah besar ingin ditumbangkan. Wang ringgit hanya ibarat daun kering dan kata-kata hanya hampas kosong untuk ditelan.

Di manakah penulis-penulis kita? Di manakah sasterawan-sasterawan kita? Di manakah pembaca-pembaca kita? Yang muda menjual populariti di pentas puisi atau menulis novel patah hati bersama secangkir kopi.

Sementara yang tua masih berkurung di dalam rumah sastera memeluk mayat dan hantu kesayangan masing-masing. Wartawan dan pengkritik jangan tanya di mana. Mungkin sibuk mengira duit gaji di pejabat atau sibuk menyiapkan tesis di perpustakaan.

Rakyat sudah hilang sabar dan rakyat tidak akan menunggu sastera untuk menyelamatkan mereka. Kos hidup di negara ini meningkat naik setiap hari dan mata wang bahasa menjunam jatuh nilainya.

Sudah terlambat untuk kita mencari seorang anarkis.

Sekarang bukan masanya untuk membakar rumah sastera, sekarang bukan masanya untuk membakar rumah hantu. Negara sedang panas dan kita harus membakar hutan untuk menyelamatkan diri.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION