Selangorkini
SELANGOR

Beg tangan kitar semula cipta rekod dunia

Oleh: SYASYA SUFIAN

SUBANG, 4 SEP: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyampaikan Sijil Guiness World Record kepada Mostwell Sdn Bhd dengan kerjasama Puspanita MPSJ melalui pembuatan beg tangan terbesar di dunia.

Pengarah Perancangan Korporat MPSJ, Hamizun Mohd Basar, berkata pembuatan beg ‘Holdall’ yang berasaskan barangan kitar semula itu membantu mengurangkan iklan haram.

holdall 2“Mostwell menyediakan 20 mesin jahit bagi menyiapkan beg secara berperingkat. Antara bahan yang digunakan adalah poster  dan kain rentang terpakai.

“Menariknya, Mostwell juga menghasilkan pelbagai bahan kreatif yang boleh dijadikan cenderamata dengan menggunakan bahan kitar semula,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Guiness World Record di The Place @ One City, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertuan MPSJ, Abdullah Marjunid dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk H.Harjeet Singh.

holdall 1Beg berukuran 25 kaki panjang, 17 kaki 10 inci tinggi dan 9 kaki 11 inci lebar itu mendapat pengiktirafan Guiness World Record, pada 29 Mei lalu.

Pengasas Mostwell, Folly Chye Geot Lee, berkata pembuatan beg mengambil masa enam bulan membabitkan kos RM16 ribu yang disertai 1492 ahli Puspanita MPSJ, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

“Untuk program akan datang, kami dalam usaha memecah rekod menghasilkan sofa terpanjang di dunia menggunakan seluar jeans terpakai yang akan dihasilkan banduan di penjara,” katanya.

-NR-


Pengarang :