CERPEN: Burung Tiong Tok Jip | Selangorkini


CERPEN: Burung Tiong Tok Jip

Oleh Razali Endun

Tok Jip mengaru kepala. Berulang-ulang kali digarunya sehinggakan beberapa helai rambutnya terlekat di jari jemarinya.
Rambutnya semakin rapuh mutakhir ini sejak dia terperanjat burung tiong peliharaannya sudah berani bercakap tentang kebebasan.

Sebelum ini yang diajar kepada burung tiong itu apa yang dicakapnya sahaja. Dan burung itu akur dan setia mengulangi percakapan tuannya tanpa tokok tambah.


Setiap pagi burung tiong itu akan mengucapkan ‘selamat pagi’ atau ‘selamat datang’ kepada sesiapa yang mengunjungi rumah Tok Jip. Atau paling tidak pun burung tiong itu akan ucap ‘helo! helo!’ Itu yang diajarkan oleh Tok Jip dan itulah juga yang diucapkannya selama ini.

Suatu pagi Tok Jip terperanjat sakan apabila burung tiong itu tidak bercakap seperti yang diajarnya. Sejak beberapa hari lalu burung tiong itu sudah pandai pula bercakap tentang kebebasan. Tentang hak asasi unggas. Tentang kezaliman Tok Jip yang mengurungnya dalam sangkar sempit itu.

Tok Jip naik pelik, bagaimana burung yang dikurung di dalam sangkar itu sudah bisa berbicara tentang kebebasan?

Inilah yang memeningkan Tok Jip. Inilah yang merunsingkan dia yang sekian lama menganggap burung-burung peliharaannya berada di dalam keadaan aman dan selesa di dalam sangkar masing-masing.

Malah makan minum memang cukup setiap hari diberikan kepada burung-burung peliharaannya. Dia sanggup berbelanja beratus-ratus ringgit membeli makanan semata-mata mahu memikat hati burung-burung itu supaya sentiasa akur dengan perintah dan arahannya.

Tok Jip memang peminat burung. Pelbagai spesis burung dipeliharanya. Burung tekukur amat diminatinya kerana suara burung itu merdu apabila bersuara. Burung tekukur hanya mengangguk-angguk kepala sambil bersuara apabila diagah-agah oleh Tok Jip.

Dia berasa seronok apabila mendengar suara tekukur bersahutan antara satu dengan lain. Yang lebih mengasyikkan ialah apabila dia melihat burung tekukur tidak pernah menggeleng kepala.  Itulah yang membuatkan Tok Jip sangat sayang pada burung tekukurnya.

Burung tiong itu ditangkap menggunakan racik. Tiong memang burung yang agak liar. Jadi diumpannya dengan belalang. Bukan itu sahaja dia gunakan tiong betina sebagai tarikan tambahan.
Apabila dia berjaya menangkap burung itu, dia mengasah lidah burung itu dengan sebentuk cincin permata supaya burung itu pandai bertutur seperti yang di ajar.

Dia pun mulai mengajar burung itu bercakap dengan perkataan-perkataan yang memuji dia sahaja. Dan burung itu amat pandai memuji tuannya seperti yang diajar oleh tuannya.

Pada suatu pagi Tok Jip terperanjat besar apabila mendengar burung tiong itu bersuara: “Bebaskan aku! Bebaskan aku!” Tok Jip mendekati sangkar burung tiong itu untuk mendengar lebih jelas.

“Apa kata kau?” tanya Tok Jip dengan suara melengking.

“Bebaskan aku! Bebaskan aku!” ulang burung tiong itu seraya membuka sayapnya terbang dalam sangkar sempit itu.

“Hei! Siapa yang ajar kamu berkurang ajar dengan tuan kamu?” seakan menjerit Tok Jip.

“Itu tak penting, sekarang kami mahu dibebaskan dari dalam kurungan ini. Ini suatu kezaliman menyekat hak asasi kami untuk bebas terbang ke mana sahaja. Tuhan memberi kami sayap supaya kami boleh terbang. Memang fitrah unggas terbang bebas di udara, dari dahan ke dahan, dari pohon ke pohon. Bukan hidup di dalam sangkar sempit ini.”

Mata Tok Jip terjengil macam melihat lembaga hantu Mak Limah.
Dia tidak sangka tiong itu begitu berani dan celupar mulut berhadapan dengan tuannya. Burung ini sudah melampau. Sudah pandai bercakap tentang kebebasan pula. Tentu ada burung-burung liar yang datang menghasut burung-burungnya di dalam sangkar itu.

Malah burung-burung tekukurnya pun sudah tidak mahu berlagu dan bersuara lagi apabila diagah oleh Tok Jip. Hati Tok Jip semakin rusuh.

“Bukankah kau bebas di dalam sangkar ini? Tak siapa yang ganggu! Makan minum cukup aku beri. Kau tak pernah kebulur pun?” Tok Jip cuba memujuk.

“Pemberian makan minum bukan lesen untuk menyekat kebebasan kami! Kami mahu manfaatkan sayap yang diberi Allah. Kami boleh mencari rezeki sendiri dengan keupayaan sayap kami untuk terbang.

“Tuan telah menzalimi kami dengan menyekat kebebasan kami untuk terbang. Malah tuan telah menyekat naluri keinginan syawat kami. Itulah kezaliman tuan terhadap kami!” burung tiong dengan berani menjawab tuannya.

Tok Jip mengaru kepalanya lagi. Rambut di kepalanya semakin menipis apabila setiap kali digarunya pasti ada beberapa helai yang gugur. Tiong ini sudah melampau. Tok Jip mesti berbuat sesuatu untuk memenuhi kehendak burung itu.

Ada akal melintas di dalam jemalanya.

“Ok! Aku akan bebaskan kamu! Selepas ini kamu akan bebas sebebas-bebasnya!” ujar Tok Jip sambil mengusap-usap jejari sangkar burung tiong itu.

“Hurray! Hurray! Kita akan bebas tak lama lagi,” jerit burung tiong kesukaan. Jeritan tiong disambut oleh tekukur dengan suara bersahutan.

Ada yang menggeleparkan sayapnya tanda kesyukuran. Ada yang melompat-lompat di dalam sangkar kegembiraan. Ada harapan yang diberikan oleh Tok Jip untuk memberikan kebebasan mereka untuk terbang.

Ini suatu tindakan yang luar biasa. Ini suatu transformasi yang unik. Tok Jip raja trasformasi. Dan suara terkukur semakin merdu dengan pelbagai irama lagu mengisi ruang angkasa rumah Tok Jip.

Suatu pagi Tok Jip datang dengan sebilah gunting. Dia menghampiri sangkar burung tiong itu sambil berbisik:

“Hari ini, aku akan bebaskan kamu dari sangkar ini. Kau tidak akan aku kurung lagi. Kau bebas pergi ke mana sahaja selepas ini.”

Burung tiong itu dicekup dengan telapak tangannya membuatkan burung itu mengelepar. Tiong meronta-ronta mahu melepaskan diri. Cengkaman Tok Jip yang kuat membuatkan tiong tidak berdaya untuk meronta. Tok Jip cepat-cepat mengacip kedua-dua sayap tiong itu.

Tiong kesakitan, cuba membuka sayapnya untuk terbang, tetapi tidak boleh terbang kerana sayapnya sudap dikacip oleh Tok Jip. Tiong melompat-lompat kesakitan sambil memaki-maki Tok Jip.

“Sekarang aku dah bebaskan kau dari sangkar. Kau bebas pergi ke mana sahaja. Janji aku untuk melepaskan kau dari kurungan sudah aku tunaikan. Jangan buat angkara lagi selepas ini,” ada nada ungutan dalam suara Tok Jip.

“Apa ertinya kebebasan ini kalau sayap kami dipotong? Ini bukan kebebasan tetapi ini adalah keseksaan. Tuan telah memberi harapan palsu kepada kami! Tuan telah berbohong! Pembohong!” tiong semakin berani mengeraskan suaranya.

Tekukur pula semakin kecut, kerana selepas itu sayap-sayap mereka akan dikacip dengan gunting tajam itu. Apalah ertinya kebebasan ini, kalau mereka tidak boleh terbang?

Tok Jip melirik senyum. Dia bangga sudah dapat menunaikan janjinya. Dalam benaknya terbayang betapa bodohnya spesis burung.

“Kamu tidak akan boleh lebih pandai daripada aku yang menjadi penguasa,’ bisik hati Tok Jip seraya bibirnya mengorak senyum, lebar.

Selang beberapa hari, Tok Jip terperanjat besar. Kali ini, rumahnya diserang oleh sekawan beburung yang terbang sambil menceritkan najis di bumbung dan ruang hadapan rumahnya.

Penuh najis di atas bumbung dan halaman. Malah ada yang berani terus memasuki bilik tidur Tok Jip dan menceritkan najis. Ada yang cuba mahu mematuk biji mata besar Tok Jip yang macam roda lori 14 tan.

Kehidupan Tok Jip sudah tidak aman lagi dengan gangguan najis-najis burung yang dicerit di merata tempat rumahnya. Dia tidak sangka beburung yang dianggap bodoh itu ada tersisip keberanian untuk mempertahankan hak asasi mereka untuk terbang.

Tok Jip mengaru kepala lagi. Habis semua rambut di atas kepalanya luruh. Tok Jip mengeluh panjang!

SHIT!” ungkap Tok Jip marah-marah.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION