Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Haram baju Bersih, Azmin cabar KDN

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 18 SEP: Pengharaman t-shirt kuning dengan tulisan Bersih 4 oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dicabar di mahkamah.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata ketetapan itu diambil setelah merasakan arahan KDN itu sebagai jelek dan tidak wajar dikeluarkan.

IMG_6555“Saya dimaklumkan barisan peguam akan mencabar KDN khususnya arahan menterinya tidak membenarkan pakaian berwarna kuning dengan tulisan Bersih 4.

“Ini sesuatu amat jelek dan peguam dalam proses membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini, pagi tadi.

Mohamed Azmin yang berbaju kuning dan berselipar hadir bagi memberi keterangan berhubung kehadirannya di perhimpunan Bersih 4 pada hujung bulan lalu dan perkataan ‘barua’ yang didakwa digunakan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dalam satu ceramah di Permatang Pauh.

IMG_6463“Saya juga disiasat kerana berucap pada perhimpunan Bersih 4, pemakaian t-shirt Bersih 4 selain membawa anak yang masih bersekolah ke perhimpunan itu,” katanya yang disiasat di bawah Seksyen 42 F Akta Perhimpunan Aman (APA), Seksyen 41 C APA dan Seksyen 81 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Mohamed Azmin mula memberi keterangan sekitar jam 10.15 pagi turut ditemani barisan peguamnya, N. Surendran, Datuk S. Ambiga dan Latheefa Koya. selain lebih 50 penyokong.

Beliau selesai memberi keterangan dan keluar pada jam 11.50 pagi dan disambut lebih 50 penyokong dengan laungan ‘reformasi’.

-NR-


Pengarang :