Selangorkini
SELANGOR

JKR diminta bertindak segera pastikan Jambatan Pulau Carey selamat

Oleh : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 SEP: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta menjalankan tindakan segera bagi memastikan jambatan Pulau Carey selamat digunakan dan tidak mendatangkan bimbang kepada orang ramai.

Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pengguna jalan raya yang kerap menggunakan laluan di situ berasa resah ekoran tiang konkrit jambatan yang retak selepas dilanggar tongkang hanyut, Selasa lalu.

Yunus-Hairi“Kejadian itu amat membimbangkan orang ramai yang menggunakan laluan dari Morib ke Klang dan kini terpaksa berpatah balik mencari laluan alternatif.

“JKR diharap dapat bertindak segera bagi mengatasi perkara itu supaya pengguna berasa selamat menggunakan laluan berkenaan,” katanya.

Dimaklumkan, laluan Pulau Carey ke Banting merentasi jambatan itu masih boleh digunakan secara bergilir.

Namun, laluan sebelah Banting ke Pulau Carey terpaksa ditutup sementara akibat keretakan struktur tiang konkrit selain memberi ruang kepada JKR untuk melakukan pemeriksaan terperinci.

Bagaimanapun, Ahmad Yunus yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata ia perlu dibaiki segera sebelum dibuka sepenuhnya kepada umum.

Beliau juga meminta pihak berkaitan yang menggunakan pengangkutan air di situ memastikan keselamatan kenderaan demi kebaikan semua.

“Kejadian tongkang hanyut itu amat merbahaya dan perlu dielakkan daripada berlaku lagi,” katanya.

-NR-


Pengarang :