CERPEN: Maka berkatalah Zakariya | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


CERPEN: Maka berkatalah Zakariya

Oleh Syafiq Ghazali

Tidak pernah Zakariya sangka buku Mein Kampf jilid 2 yang dibelinya di sebuah kedai buku lama di Central Market (nama Melayunya, bagi yang tidak tahu, Pasar Seni) mengandungi rahsia yang begitu besar, sementelah dia membelinya hanya kerana tertarik pada kavernya yang berwarna merah.

Buku itu, yang didapatinya tertulis dalam bahasa Jerman, hanya dibeleknya pada sebelah malam, di bilik sewanya, dan pada ketika itulah baru dia menyedari rahsianya. Terselit di tengah-tengah halamannya, dia menemui sekeping kapal terbang kertas terlipat rapi.


Dia mengambil objek itu, mengepak-ngepaknya seketika sebelum merungkai lipatannya, dan mendapati sebuah peta terlukis padanya. Di belakang kertas itu, di ruang tengahnya, tertulis satu ayat: cogito ergo sum. Ini kata-kata Descartes, fikir Zakariya.

Dia tidak ambil pusing soal peta itu sehinggalah dia terbaca, dalam internet, tentang penemuan keretapi Nazi, yang mana di dalamnya tersimpan timbunan emas milik Hitler.

Dia mengikut penuh minat cerita itu sehinggalah keluar berita yang menyatakan ia hanya satu pembohongan. Benar keretapi Nazi telah ditemui tetapi tiada emas di dalamnya walau sebongkah.

Jika cerita itu bohong, fikir Zakariya, bermakna timbunan emas yang dimaksudkan berada di tempat lain. Semalaman dia berfikir, dan esok paginya dia mencapai resolusi ini: emas itu berada di negara ini.

Hujahnya: Mein Kampf ada dengannya (Zakariya percaya ia milik Hitler) dan di dalamnya terselit selembar peta.

Seharian dia menyelongkar internet, mencari lokasi yang dirasanya emas itu patut berada, dan akhirnya dia percaya ia berada di tengah-tengah hutan Pahang kerana banyak cakap-cakap menunjukkan hutan itu mengandungi emas.

Esoknya, dengan kereta sewa, dia memandu ke sana. Sebaik sampai dia terus memulakan penjelajahannya. Sebagai seorang yang sukakan advencer, hutan tebal bukanlah asing baginya.

Berbekalkan parang dan peta itu, dia membelah setiap rintangan dengan mudah, hinggalah dia tiba di hadapan sebuah bongkah batu gergasi berbentuk piramid.

Padanya Zakariya lihat garis yang membentuk pintu. Zakariya cuba menolaknya tapi ia tidak berganjak. Dia kemudian teringatkan tulisan di belakang peta.

Cogito ergo sum!’ katanya.

Pintu itu pun terbuka perlahan-lahan, dengan bunyi gerakan yang kasar. Bila ia ternganga luas, Zakariya meluru masuk dan mendapati dirinya berada dalam ruang gua yang cerah benderang.

Dia mengimbas sekeliling dan melihat sebuah meja berserta dua buah kerusi—setiap satunya dari batu—di hadapannya; lubang seluas raut wajahnya terlekap pada dinding di sebelah kanannya; di sebelah kirinya adalah apa yang diimpikannya selama ini: setimbun emas membukit.

Bau kemenyan yang kuat tiba-tiba menusuk hidungnya, dan kemudian terdengar, entah dari mana, satu suara halus bergema: ‘Kau datang kerana emas itu?

Zakariya merasa gugup, namun dia tetap menjawab: ‘Ya, kerana emas itu.’

‘Kau boleh memilikinya,’ balas suara itu. ‘Tapi kau perlu main satu permainan. Hanya yang menang layak mendapat emas itu.’

Sejenak muncul di atas meja di hadapannya satu papan catur yang sudah sedia tersusun buah caturnya.

Zakariya memandang papan catur itu dengan mata bersinar. ‘Siapa lawan aku?’ tanya dia.

Sekilas detik muncul satu lembaga di hadapannya. Melihatnya, Zakariya ternganga: lembaga itu menyerupai dirinya. Wajahnya kusam dan pakaiannya—sama seperti yang dipakai dirinya—kusut dan kumal, tapi jelas di mata Zakariya lelaki itu adalah dirinya.

Sedang Zakariya termangu, lelaki itu duduk di salah kerusi batu dan diam di situ. Zakariya memenangkan dirinya. Dia bukan aku, fikirnya, dia cuma lembaga ilusi yang diwujudkan suara itu bagi mengelirukan aku.

Setelah menarik nafas panjang, dia menghampiri meja dan duduk mengadap lawannya itu. Melihat dia masih diam, Zakariya memulakan permainan.

Di tengah permainan, dia mula sedar bahawa lelaki itu meniru setiap pergerakan buahnya, seratus peratus. Jika dia menggerakkan buah kuda, lelaki itu juga menggerakkan buah kuda; dan begitulah seterusnya.

Zakariya resah. Melihat lelaki itu begitu tenang, dia mula hilang sabar. Dia menarik keluar parangnya, melompat ke atas meja, dan menetak kepala lelaki itu. Lelaki itu rebah serta-merta. Darah membuak keluar dari kepalanya dan membasahi sebahagian tubuhnya dan tanah. Matanya terbeliak.

Bersorak deras, Zakariya berlari mendapatkan timbunan emas. Namun, belum sempat dia menjamah walau sebongkah, ia ghaib tiba-tiba.

‘Mana emas aku?!’ jerit Zakariya.

‘Emas ini hanya untuk yang menang,’ kata suara itu. ‘Dan tiada yang menang dalam permainan ini.’

‘Aku yang menang! Aku patut simpan emas tu!’

‘Orang mati tidak menyimpan harta.’

‘Tapi aku masih hidup.’

‘Jika kau masih hidup, siapa itu yang mati?’

Zakariya merenung mayat di tanah. ‘Itu… itu aku,’ katanya.

‘Jadi kau sudah mati.’

Zakariya fikir suara itu sengaja memerangkapnya dalam permainan kata-kata. Lalu, cuba menjadi bijak, Zakariya berkata: ‘Kalau yang mati itu aku, yang sedang bercakap denganmu ini siapa?’

‘Bukan siapa-siapa.’

Jawapan itu mencucuk benaknya, dan dia mula menyoal kewujudannya. Wujudkah aku, tanya Zakariya kepada dirinya sendiri, dan jika benar wujud, bagaimana boleh aku buktikannya. Beberapa ketika dia berfikir, dan lama kemudian dia teringatkan kata-kata keramat Descartes.

Maka berkatalah Zakariya: ‘Cogito ergo sum!’

Jawab suara itu: ‘Sudah 400 tahun Descartes berhenti berfikir.’

Dari saat itu, suara itu tidak lagi bercakap. Zakariya, setelah beberapa ketika menyesali nasibnya, berjalan longlai menuju ke pintu gua dan menyebut lemah mantera pembukanya. Dia menunggu tapi pintu itu tidak terbuka. Dia mencuba lagi dan hasilnya tetapi sama.

Ini satu sumpahan, fikir Zakariya.

Bertahun-tahun berlalu dan Zakariya masih terperangkap dalam gua. Di dalamnya, dia tak pernah berumur dan lapar dan mengantuk, namun tidak sedikit pun dia rasa beruntung.

Tentang suara itu, ia tidak lagi kedengaran (Zakariya percaya ia milik Iblis yang pernah cuba menipu Sheikh Qadir Jailani satu ketika dahulu), dan Zakariya sendiri, setelah sekian lama tiada teman bercakap, sudah kehilangan fungsi suaranya. Satu-satunya hubungannya dengan dunia luar adalah lubang gua seluas mukanya.

Setiap hari, berdiri di situ, dia akan terkenang masa lalunya. Namun lebih banyak masanya dihabiskan dengan menyesali nasibnya. Dia selalu rasa dirinya telah terperangkap di dalam pusingan kegilaaan yang tak dimakan masa, dan dalam pusingan itu dia hidup dan mati dan hidup semula.

Entah setelah berapa lama satu idea menerpa benaknya: jika dia boleh mati dan hidup semula, itu bermakna masa juga boleh berpatah kembali ke titik asal dan bermula sekali lagi. Sejarah sentiasa berulang, fikirnya lagi.

Dia mengambil peta dari kocek seluarnya dan melipatnya menjadi bentuk asalnya, bentuk kapal terbang. Dia kemudiannya menuju lubang gua dan melaluinya, dia luncurkan kapal terbang kertas itu.

Zakariya melihat ia terculang-caling terbang, membawa harapannya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION