Selangorkini
SELANGOR

MBI terus gerak misi kemanusiaan demi kebajikan rakyat

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 SEP: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) akan terus menggerakkan program bantuan dan kebajikan di Selangor serta luar negeri itu demi keprihatinan kepada semua pihak yang memerlukan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali, berkata MBI sentiasa menitikberatkan perkara berkenaan bersesuaian dengan agenda Kerajaan Negeri yang mengutamakan kebajikan rakyat.

ust jaafar 1 web“Kita akan sentiasa menggerakkan misi kemanusiaan demi membela nasib rakyat yang memerlukan tidak setakat di Selangor, bahkan ke seluruh negara serta luar.

“Malah, kita akan memperluaskan lagi program CSR pada masa hadapan ekoran maklum balas positif diterima terhadap misi sebelum ini,” katanya kepada Selangor Kini.

MBI pernah terbabit dalam beberapa misi kemanusiaan seperti bantuan mangsa banjir ke Kelantan dan negeri lain, bahkan menghantar misi di luar negara iaitu Nepal serta Poland bagi menbantu dalam isu bencana alam dan dakwah.

Beliau berkata, MBI berminat menjalin hubungan dan kerjasama dengan jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan juga antarabangsa pada masa hadapan.

“Dalam isu ini, ia dijalankan atas dasar bersama dan menjalankan khidmat demi kebaikan semua pihak. Kita bukan ingin bersaing tetapi ia dilakukan secara ikhlas dengan semangat peduli rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak sekadar memikirkan misi menjana keuntungan tetapi juga menyalurkan hasil negeri demi kesejahteraan rakyat.

Sejak mula beroperasi pada Januari lalu, CSR MBI sudah membelanjakan kira-kira RM5 ke RM6 juta bagi program kebajikan di seluruh Selangor dan luar negeri itu.

-NFN-


Pengarang :