Selangorkini
SELANGOR

Piala Malaysia: PKNS FC buru kemenangan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 SEP: PKNS FC tekad memberi tentangan sengit dan mencipta kejutan apabila berdepan Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pada 19 September ini.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rasydin Abdul Rashid, berkata sasaran meraih tiga mata amat penting dalam perlawanan kedua kempen Piala Malaysia 2015 bagi mencerahkan laluan ke suku akhir selepas menundukkan Pulau Pinang minggu lalu.

PKNS_FC“Peluang semua pasukan dalam kumpulan D untuk ke suku akhir masih terbuka.

“Persediaan pasukan pastinya tertumpu bagaimana untuk mengekang jentera serangan Pahang yang hebat,” katanya kepada Selangor Kini.

Mahfizul mengakui Pahang selaku juara bertahan mempunyai barisan pemain hadapan mantap diketuai awang import, Dickson Nwakaeme.

Beliau berkata, PKNS FC akan memperbaiki beberapa aspek teknikal dan taktikal yang didapati kurang mantap ketika perlawanan menentang Pulau Pinang.

Katanya, jurulatih turut memberi penekanan terhadap pemain secara individu sebagai persediaan mental dan fizikal.

“Pastinya, PKNS FC akan turun sebagai underdog menentang Pahang yang juga naib juara Liga Super musim ini.

“Kita berharap segala perancangan akan berhasil dengan keputusan memihak kepada PKNS FC,” katanya.

Dalam perlawanan pertama, PKNS FC mengalahkan Pulau Pinang 3 – 0 manakala Pahang mengatasi PDRM 4 – 3.

-NR-


Pengarang :