Selangorkini
NASIONAL

SKMM perlu tetapkan KPI capaian jalur lebar syarikat telco

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 SEP: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menetapkan indeks pencapaian prestasi (KPI) kepada semua syarikat telekomunikasi jalur lebar supaya pengguna menikmati perkhidmatan yang setimpal dengan harga bayaran.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata meskipun kewujudan syarikat telekomunikasi semakin bertambah, namun pengguna masih belum menikmati perkhidmatan setimpal bahkan ia hanya mewujudkan persaingan penawaran harga semata-mata.

Katanya, negara kurang maju seperti Vietnam mampu menyediakan perkhidmatan jauh lebih baik berbanding negara ini.

FOMCA“SKMM perlu serius memastikan setiap syarikat ada KPI khusus untuk mereka capai dan perlu mengikuti kadar capaian yang mereka tetapkan.

“Banyak telco yang mendakwa mereka ‘terlaju di Malaysia’ namun di sesetengah kawasan masih ada masalah rangkaian,” katanya kepada Selangor Kini.

Walaupun syarikat telekomunikasi terpaksa membelanjakan kos tinggi untuk memulakan perkhidmatan jalur lebar, namun Yusof berpandangan budaya monopoli tidak menyumbang kepada peningkatan harga yang dihadapi pengguna kini.

Tegasnya, tawaran harga jalur lebar yang tinggi kepada pengguna bakal menjejaskan usaha penembusan maklumat secara terus seperti yang disarankan kerajaan.

“Keadaan itu juga mengecewakan pengguna yang terpaksa membayar perkhidmatan pada harga tinggi sedangkan syarikat telekomunikasi mengambil pendirian ‘sekadar ada’ tanpa menaiktaraf mutu capaian,” katanya.

-NR-


Pengarang :