Selangorkini
NASIONAL

Adakah kita merdeka seperti dimahukan Za’ba?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 OKT: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mengajak pemikir dan masyarakat Melayu merenung semula sama ada bangsa itu hari ini berjaya mencapai kemerdekaan seperti yang dimahukan tokoh intelektual, pendeta Za’ba.

A Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, berkata Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad mahu bangsa Melayu merdeka dengan maruah yang terpelihara, dimartabatkan dan mempunyai ekonomi kukuh.

A.SAMADSAID_141113_TMIAFIF_002_360_240_100“Saya ingin ingatkan semula, kita semua sudah merdeka seperti dimahukan Za’ba. Bangsa Melayu harus merdeka, ekonominya mesti kukuh, martabatnya harus dijaga dan rakyatnya harus dibahagiakan tetapi adakah kita sudah mencapai itu?

“Kita sahaja yang tahu, saya harap renunglah semula melalui seminar yang diadakan ini dengan bertanya mengapa dalam 60 tahun ini orang Melayu paling berkuasa. Rajanya, perdana menteri, menteri, ahli ekonomi, pelabur, askar, bahakan profesor yang ramai juga Melayu tetapi kenapakah kita jadi seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Pendeta Za’ba: Pemikir Umat Rentas Zaman di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini, semalam.

Selain mempersoalkan adakah kemerdekaan yang dicapai sama seperti kemerdekaan yang dimahukan Za’ba, A Samad berkata Melayu hari ini dan generasi akan datang terpaksa menanggung hutang bukan ciptaan mereka.

permata-zabaKetika mengimbas kembali kenangan sepanjang mengenali Za’ba, A Samad berkata, beliau dan seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang yang dianggap sebagai angkatan penulis muda memiliki beberapa perbezaan pendapat berkenaan kesusasteraan dengan tokoh itu.

Bagaimanapun, perbezaan pendapat itu ditangani dengan baik dan beradab dengan berlandaskan hujah yang rasional serta kekal dengan pendirian masing-masing.

Katanya, Usman pernah menulis sebuah puisi khas buat Za’ba dan beliau sendiri memberikan sebuah novel karyanya ketika perbezaan pendapat itu masih berlanjutan.

-NFN-


Pengarang :