SELANGOR

Alat cerap jerebu patut dinaik taraf

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Persekutuan diharap dapat menaik taraf peralatan cerapan pencemaran jerebu di kawasan tertentu.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San, berkata usaha itu perlu sebagai pelan jangka pendek menghadapi situasi jerebu yang semakin merunsingkan.

Katanya, kerja naik taraf dilakukan di kawasan berkepadatan tinggi dan dekat sempadan seperti Kuching, Johor Bahru dan Lembah Klang.

LAU WENG SAN“Saya setuju dengan kenyataan menteri sebelum ini, namun saya percaya langkah jangka pendek juga perlu dilakukan.

“Benar ia melibatkan kos besar tetapi apa boleh dilakukan ialah menaik taraf di tempat krtitikal,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau diminta mengulas sistem cerapan jerebu yang digunakan Particulate Matter (PM) 10 di Malaysia dan keperluan menukar kepada sistem lebih canggih seperti PM2.5 di Singapura.

Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelaksanaan sistem PM2.5 menelan peruntukan sepuluh kali lebih tinggi berbanding negara pulau itu yang hanya memerlukan lima mesin sahaja berbanding 50 di Malaysia.

Pada masa sama, Weng San mengalu-alukan ketegasan Malaysia bersama Singapura terhadap Indonesia dalam isu jerebu.

“Saya juga pernah ‘tag’ surat terbuka kepada Presiden Joko Widodo pada September lalu bagi menggesa Kerajaan Indonesia mengambil tindakan tegas kepada mereka yang menyalahi undang-undang hingga mengundang masalah global ini,” katanya.

-nR-


Pengarang :