Selangorkini
NASIONAL

Azizah : Bajet 2016 tidak jamin kesejahteraan rakyat

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Pakatan Harapan (Pakatan) berpandangan Bajet Persekutuan 2016 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiada jaminan konkrit untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, berkata seperti mana tahun lalu, pembentangan belanjawan kali ini juga berisiko besar memerlukan peruntukan tambahan bagi menyokongnya.

Wan Azizah“Apa disasarkan tidak akan tercapai kerana pada kebiasaannya akan ada perbelanjaan tambahan.

“Maka, saya tidak fikir pengurangan defisit RM3.1 bilion mampu dicapai,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Selaku Menteri Kewangan, Najib dalam sidang Dewan Rakyat hari ini membentangkan belanjawan 2016 Kerajaan Persekutuan dengan defisit RM41.5 bilion biarpun dianggarkan hasil pendapatan negara meningkat RM3.2 bilion berbanding tahun lalu.

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, anggaran kadar defisit itu adalah tinggi dengan jangkaan hasil pendapatan negara RM225.7 bilion menerusi belanjawan dengan perbelanjaan RM260.7 bilion.

Presiden PKR itu berkata, dengan kos sara hidup tinggi, rakyat terkesan dan perlu membayar harga mahal untuk menampung hidup tidak terkecuali Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

GST Grafik Baru“Mengenai GST kalau dikira jumlah dikutip kerajaan ialah seseorang perlu membayar RM1,300 setahun. Ini bermaksud sebuah keluarga dengan enam orang akan menyalurkan RM7,800 setahun untuk GST.

“Sedangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibayar RM1,000 untuk satu keluarga,” katanya.

Pada 21 Oktober lalu, Pakatan membentangkan belanjawan alternatif 2016 dengan anggaran perbelanjaan RM238 bilion dan memperoleh pendapatan RM208 bilion.

Menerusi belanjawan itu juga, Pakatan menjanjikan pemansuhan GST sekiranya mengambilalih Putrajaya bagi mengurangkan bebanan rakyat.

-nR-


Pengarang :