Selangorkini
NASIONAL

Belanjawan Alternatif 2016 kurangkan jurang ekonomi Semenanjung dan Borneo

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 15 OKT: Pakatan Harapan akan membentangkan Belanjawan Alternatif 2016 dengan fokus mengurangkan jurang ekonomi antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak juga menyemak polisi pertanian terutama membabitkan golongan luar bandar, di Parlimen, pada 21 Oktober ini.

Belanjawan itu akan diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

wong chenPerkara itu dimaklumkan pasukan belanjawan dan ekonomi Pakatan Harapan yang terdiri daripada Wong Chen (PKR), Tony Pua (DAP) dan Dr Dzulkefly Ahmad (PAN).

“Pakatan Harapan mencadangkan pendekatan berdisiplin bagi belanjawan negara dan secara umumnya kami tidak mencadangkan pakej stimulus (pump priming) digunakan untuk merangsang eknomi pada tahun hadapan. Fokus kami juga untuk mengurangkan ketirisan dan aktiviti rasuah.

“Kita menumpukan kepada anggaran perbelanjaan dan polisi pentadbiran. Kita turut menjuruskan kepada idea polisi mengelakkan krisis ekonomi,” kata Wong Chen dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata belanjawan alternatif turut menyentuh keupayaan dan ketidaktentuan ekonomi yang melanda negara ekoran kelesuan ekonomi China.

Dr Fahmi Ngah“Langkah untuk menangani masalah itu adalah perlu berbelanja lebih berhemah dan menumpukan usaha bidang ekonomi baru selain membina ketahanan lebih baik,” katanya.

Bagi Ahli Parllimen Petaling Jaya Utara (PJU,) Tony Pua, belanjawan alternatif itu akan mengambil perspektif berbeza berbanding yang dibentang kerajaan.

Katanya, Pakatan Harapan memberikan tumpuan untuk membangunkan Sabah dan Sarawak yang kaya dengan hasil pendapatan, sekali gus mngurangkan jurang pendapatan dengan Semenanjung Malaysia.

“Kita akan menyenaraikan langkah yang akan diambil Pakatan Harapan untuk mengurangkan jurang itu termasuk aktiviti serta pelaburan di Sabah dan Sarawak.

“Kita tengok mereka terpinggir daripada segi peluang pekerjaan dan ekonomi. Kita mahu lebih banyak pelaburan ke sana untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

-NFN-


Pengarang :