Selangorkini
SELANGOR

Bukan tak nak bina rumah, tapi tak ada tanah

Oleh: SYASYA SUFIAN

BATU CAVES, 20 OKT: Kerajaan Negeri tidak membangunkan rumah mampu milik di kawasan Ampang berikutan ketiadaan tanah bersesuaian untuk pembinaan Rumah Selangorku, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Bagaimanapun, Iskandar berkata, Kerajaan Negeri sudah melaksanakan tanggungjawab membina rumah mampu milik untuk rakyat di beberapa kawasan lain.

iskandar-samad-pink-01“Sebanyak 12,000 unit rumah Selangorku dilancarkan dan sebahagian daripadanya siap seperti di Bangi dan Selayang Mutiara sementara di Sutra Damansara dan Shah Alam sedang dalam pembinaan.

“Jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran Kerajaan Negeri untuk melancarkan 20,000 unit rumah mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ampang Jaya, Datuk Ismail Kijo sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri gagal membina rumah mampu milik di kawasan Ampang sejak 2008.

“Mengapa tidak ada tanah di sana? Tanya balik Pengerusi Himpunan Merah, dia adalah bekas Adun di sana.

“Dia lebih mengetahui apa yang terjadi kepada tanah yang dulunya banyak tapi sekarang sudah tidak ada,” katanya.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM30 juta sejak 2008 untuk membaik pulih rumah kos rendah yang dibina kerajaan terdahulu.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (3)Katanya, Kerajaan Negeri sudah membuat penyelidikan berkaitan pembangunan rumah mampu milik dengan beberapa strategi berlainan mengikut kawasan.

“Sebab itu Rumah Selangorku dapat dilihat sedang membangun di kawasan lapang seperti di Klang, Bandar Bayu, Kota Puteri, Rawang dan Gombak.

“Kita tidak mahu mengulangi kegagalan kerajaan terdahulu yang membina rumah mampu milik dalam keadaan tidak memuaskan,”katanya.

-nR-


Pengarang :