NASIONAL

Dua kali lanjut tempoh selesai 1MDB, taktik PM ‘beli masa’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa isu 1MDB diselesaikan dalam tempoh 12 bulan tanpa perancangan teratur disifatkan sebagai helah melengah-lengahkan masa atau ‘buying time’.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata tindakan itu menyebabkan rakyat menanggung beban semakin besar.

“Pembentangan Belanjawan 2016 menjadi bukti nyata Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri sekarang menghidapi sindrom penafian atas malapetaka 1MDB.

“Beliau hanya umum akan selesai dalam tempoh enam bulan dan kemudiannya enam bulan lagi tanpa sebarang perancangan teratur adalah taktik ‘buying time’,” katanya

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ketika membentangkan Bajet Persekutuan 2016 Jumaat lalu, Najib dilihat cuba menjadikan skandal 1MDB tidak pernah berlaku apabila langsung tidak mengambil peluang menjelaskan jalan penyelesaian skandal melibatkan kerugian berpuluh bilion ringgit dana negara.

Tindakan beliau itu disusuli tindakan menolak soalan lisan berhubung skandal sama.

-nR-


Pengarang :