Selangorkini
SELANGOR

Elak sesak, dua laluan alternatif dibuka

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 28 OKT: Penduduk dan pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan di Persiaran Subang Permai di sini berikutan kerja pembetungan dijalankan mulai minggu ini.

ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata kerjasama semua pihak diperlukan bagi menangani masalah terbabit kerana ia tidak dapat dielak dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah memberikan kelulusan untuk tujuan berkenaan.

Hannah Yeoh pic“Dijangka semua kerja itu berlarutan lapan minggu dan dijangka siap akhir Disember ini.

“Pengguna jalan raya dicadangkan guna laluan alternatif di Jalan Subang 2 dan 3 untuk masuk ke kawasan perumahan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Selangor Kini difahamkan, kerja pembetungan itu dijalankan ekoran pembinaan bangunan di hadapan simpang Jalan Subang Permai dan satu daripada dua laluan sedia ada ditutup sepanjang tempoh terbabit.

MPSJ memberi kebenaran pihak berkaitan menjalankan kerja pembetungan itu di luar waktu puncak iaitu dari Isnin hingga Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 4 petang serta 10 malam hingga 5.30 pagi.

Hannah berkata, hampir 10,000 penduduk terlibat dan mereka perlu mengelak menggunakan laluan Persiaran Subang Permai mulai dari Pasaraya Mydin hingga ke Pusat Perniagaan Regalia (RBC).

“Kerjasama mereka membantu kurangkan kesesakan. Jika tidak mereka terpaksa menempuh laluan sesak akibat kerja pembetungan ini,” katanya.

-nR-


Pengarang :