NASIONAL

Jangan mudah keliru, GST kad prabayar masih ada

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 OKT: Pengguna kad prabayar telco di negara ini diingatkan supaya tidak terkeliru dengan menyangka Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan seperti disarankan banyak pihak sebelum ini.

Bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata langkah memberi rebat kepada pengguna seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Baje Persekutuan 2016 baru-baru ini hanyalah sementara sebelum mengenakan semula GST pada kadar enam peratus seperti sebelumnya.

Dr Rosli Yaakop“Kerajaan bercadang membayar rebat enam peratus kepada pengguna pada 2016 dan mengapa tidak sahaja jadikan sifar GST untuk kad prabayar ini. Bukankah lebih mudah?

“GST prabayar sepatutnya tak dikenakan tetapi kerajaan kenakan juga selepas itu Najib umum pembayaran rebat bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2016.

“Ini bermakna tidak ada jaminan GST kas prabayar tidak dikena selepas 2016,” kata Dr Rosli kepada Selangor Kini, hari ini.

April lalu, kerajaan memperkenalkan GST ekoran hutang negara meningkat dengan mendadak khususnya sejak Najib mula dilantik sebagai Perdana Menteri.

Langkah itu dipertikaikan dan rakyat berpendapat hutang kerajaan meningkat ekoran sikap tidak bertanggungjawab pemimpin dalam menguruskan ekonomi negara.

Pada pembentangan Belanjawan 2016, 23 Oktober lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan membayar rebat enam peratus GST kepada pengguna.

Bagaimanapun, bayaran rebat tersebut hanya berkuatkuasa bermula 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016 sahaja.


Pengarang :