NASIONAL

Jangan takbur, ambil pengajaran belanjawan surplus Anwar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan diingatkan supaya tidak sombong ekoran kenyataan beliau menafikan kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurus ekonomi negara.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata Abdul Rahman harus menerima hakikat bahawa Ketua Umum PKR itu berjaya membentangkan belanjawan surplus selama beliau menyandang  jawatan Menteri Kewangan.

SHAMSUL ISKANDAR“Ini tidak pernah diulangi oleh tiga Perdana Menteri yang menjadi Menteri Kewangan selepas beliau.

“Janji demi janji membentangkan belanjawan berimbang dilakukan tetapi sudah 18 tahun janji tidak ditepati,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan ‘Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah masa lalu’ yang menurut fahaman Iskandar sebagai cubaan menafikan kredibiliti Anwar.

Iskandar berkata, Anwar sentiasa mengambil iktibar daripada sejarah untuk berjimat cermat ketika senang antaranya mencontohi kisah pengurusan ekonomi Nabi Yusuf seperti diceritakan dalam Al-Quran.

“Kota Belud jangan buta sejarah kerana ia harus dijadikan panduan masa depan,” katanya.

Iskandar berkata, bakat dan kemampuan Anwar dihalang dengan fitnah jahat ahli politik tidak berbakat tetapi mempunyai nafsu politik besar.

Iskandar turut melahirkan keyakinan, Anwar mampu menyelesaikan isu 1MDB sekiranya diberi mandat sebagai Perdana Menteri.

-nR-


Pengarang :