Selangorkini
SELANGOR

Keprihatinan MBI bawa manfaat besar

Oleh: HAFIZAN TAIB

KOTA BHARU, 8 OKT: Misi kemanusiaan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) membantu mangsa banjir membawa manfaat besar kepada rakyat Kelantan.

Timbalan Pegawai Kewangan Kelantan, Mohammad Yusoff Hassan, berkata sumbangan Kerajaan Selangor melalui MBI banyak membantu bagi membangunkan semula kawasan penempatan penduduk yang musnah dalam insiden berkenaan.

“Kita bersyukur dengan bantuan dihulur bagi membantu sebahagian rakyat yang terbabit dalam musibah banjir. Sumbangan dihulurkan Kerajaan Selangor melalui MBI mendatangkan kebaikan kepada rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

P_20151007_145854Katanya, proses pembangunan digerakkan masih berterusan dan sebahagian besar sudah disempurnakan pembaikannya.

“Walaupun belum siap sepenuhnya tetapi banyak kawasan sudah disiapkan seperti di Manik Urai, Kuala Krai dan Gua Musang. Kelantan memang biasa dilanda banjir saban tahun cuma kita berharap ia tidak seperti tahun lalu jika masalah sama berulang,” katanya.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali, berkata sumbangan zakat bernilai RM1 juta itu adalah usaha dijayakan Kerajaan Selangor untuk berkongsi hasil bagi membantu kumpulan sasaran yang memerlukan pembelaan.

Kerajaan Selangor membina 60 unit rumah pasang siap (Rumah Darul Ehsan) dengan kos RM6 juta untuk mangsa banjir di Kelantan dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan Selangor turut menyerahkan sumbangan RM1 juta kepada Kerajaan Kelantan ketika lawatan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ke pusat pemindahan mangsa banjir.

-NFN-


Pengarang :