SELANGOR

Nik Nazmi : IPTA ditekan, nasib pelajar diperjudi

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 28 OKT: Potongan sebanyak RM1.4 billion daripada peruntukan pendidikan tinggi disifatkan sebagai tidak wajar dan melambangkan Bajet Persekutuan 2016 tidak memberi nilai baru kepada negara.

Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia akan memberi impak besar kepada institut pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menyesuaikan diri dalam tempoh berbaki beberapa bulan sebelum menjelang 2016.

niknazmi“Kerajaan sepatutnya meningkatkan lagi keyakinan terhadap IPTA, pengumuman bajet itu hanya menggusarkan lagi keadaan.

“Universiti menghadapi kesukaran kerana pelan tersebut baru diumumkan dan hanya beberapa bulan lagi mahu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pemotongan peruntukan Kementeri Pegajian Tinggi sebanyak RM2.4 bilion dalam Bajet Persekutuan 2016.

Berdasarkan bajet dibentangkan Menteri Kewangan pada 23 Oktober lalu, kementerian hanya menerima RM13.378 bilion (5.0 peratus daripada keseluruhan bajet) berbanding RM15.785 bilion (5.8 peratus) dalam bajet 2015.

Kerajaan memberi alasan ketetapan itu selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) bagi mendidik universiti mencari dana sendiri.

“Penurunan itu paling besar berlaku di Kemterian Pengajian Tinggi sejak Najib menjadi Perdana Menteri.

“Seperti biasa, golongan pertengahan diabaikan dan golongan berpendapatan rendah terus dibebani Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Nik Nazmi berkata, keadaan menjadi lebih parah apabila peluang menyambung pengajian di IPTA dikurangkan sejak dua tahun meskipun keputusan pelajar layak terus meningkat.

Katanya, pelajar tercicir terpaksa ke IPTS dan bergantung harap kepada pinjaman PTPTN sedangkan peruntukan berkenaan sudah pun dipotong antara 15 hingga 25 peratus.

“Kerajaan berputus asa terhadap pendidikan tinggi dan lebih rela memperjudikan masa depan generasi muda demi menutup masalah kewangan negara akibat kegagalan tadbir urus kerajaan Najib Razak,” katanya

-nR-


Pengarang :