Selangorkini
SELANGOR

Persekutuan patut adil agih peruntukan perumahan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Persekutuan perlu bersifat lebih adil dalam pengagihan peruntukan perumahan terhadap negeri termasuk di bawah kepimpinan Pakatan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata pemberian itu patut berdasarkan keperluan pembangunan dan bukan bersifat politik.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (2)“Kita lihat ada kalanya peruntukan itu tidak turun kepada sasaran. Contoh di Selangor ada peruntukan sebelum ini tetapi tidak dapat kepada kita bahkan ke negeri lain.

“Diharap Kerajaan Persekutuan bertindak adil dalam agihan projek dan peruntukan. Ia diberikan berdasarkan keperluan, bukan berdasarkan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas mengenai Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk projek pembinaan rumah rakyat termasuk PR1MA dengan syarat mereka mematuhi peraturan rumah mampu milik dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menyentuh soal Belanjawan Selangor beliau berkata, Kerajaan Negeri juga bakal memperkenalkan inisiatif bantuan deposit kewangan bagi mereka yang ingin membeli rumah pertama.

Perkara itu akan diumumkan sendiri Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali pada 30 Oktober ini.

“Saya melihat kepada pembiayaan pemberian deposit kepada mereka yang mahu membeli rumah. Mesyuarat Exco Selangor dua minggu lepas bersetuju dengan program ini.

“Saya tidak tahu siapa ikut siapa tetapi akan diumumkan dalam pembentangan belanjawan minggu hadapan,” katanya yang juga Adun Cempaka.

EZY


Pengarang :