NASIONAL

Rakyat puji pemimpin berani lawan Najib

NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 OKT: Tindakan berani pimpinan Barisan Nasional (BN) menyuarakan pendapat berlawanan dengan Datuk Seri Najib Razak membuktikan Perdana Menteri kini semakin hilang taringnya.

Kakitangan Kerajaan, Amanda Khong, 22, berkata hal itu mungkin berpunca dari keangkuhan Najib menolak pandangan pemimpin lain selain sering mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal.

AMANDA“Bagaimana pemimpin lain bersetuju dengan cara beliau, sedangkan mereka mempunyai pendirian sendiri.

“Pemimpin yang menyokong Najib itu ‘kaki bodek’ sahaja sebab itu bersetuju dengan apa yang Najib lakukan termasuk isu derma RM2.6 bilion,” katanya kepada SelangorKini.

ALISSALABagi, Alissala Thian, 29, berpendapat seharusnya semua pimpinan BN yang tidak bersetuju dengan tindakan Najib perlu bersuara bukannya mendiamkan diri.

“Jika terus bersama Najib sudah tentu mereka tidak dihormati. Lebih baik mereka nyatakan pendirian secara terbuka dan berani bersuara menentang ketidak adilan,” katanya.

Sebelum ini, Najib berjaya mencuri tumpuan dunia apabila dirinya terpalit dengan isu derma RM2.6 bilion membabitkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) .

Wall Street Journey memetik dokumen mengenai siasatan 1MDB yang kini dijalankan kerajaan Malaysia, yang menurutnya sejumlah US$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan antara agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan syarikat sarat hutang, 1MDB, sebelum wang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Isu itu didakwa menyebabkan kejatuhan Ringgit Malaysia. Manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat ekoran memberi kritikan terhadap pentadbiran Najib.

Semalam, beberapa pemimpin BN menyertai Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersuara menentang penahanan dua individu yang dikaitkan dengan Mahathir dalam kempen isu 1MDB.

Lebih mengejutkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal turut hadir dalam sidang media itu.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid dan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

-NR-


Pengarang :