Selangorkini
NASIONAL

Speaker renyuk kertas usul gantung kit Siang

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Notis pemberitahuan usul yang mencadangkan agar Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung ditarik balik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othmad Said menariknya dalam Dewan Rakyat setelah diarah oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ia berikutan beberapa wakil rakyat dalam dewan mempertikaikan notis tersebut atas alasan Kit Siang belum memberi penjelasan mengenai dakwaannya terhadap Pandikar, namun notis telah dikeluarkan.

“Saya tarik kembali pemberitahu usul tapi saya nak bagi tahu Lim Kit Siang bahawa beliau mempunyai (masa) semalam untuk tarik balik, tetapi dia tidak buat.

“Dia sepatutnya kena menghormati kerusi Speaker. Yang Berhormat (Kit Siang) sebagai orang lama bertanggungjawab untuk berperangai elok dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Insiden berkenaan menimbulkan sedikit kekecohan di Dewan Rakyat hingga mengakibatkan campurtangan Pandikar.

Beliau menegaskan bahawa notis itu hanya pemberitahuan untuk membahaskan kedudukan Ahli Parlimen Gelang Patah jika beliau gagal menarik kembali dakwaannya.

“Itu hanya notis pemberitahuan sahaja. Ia tidak diterima dan belum pun dibahas. Ia boleh saya buang,” katanya sambil merenyukkan notis yang berada di tangannya.

Beliau kemudiannya tegas dengan gesaanya pada Selasa mahu Kit Siang meminta maaf tanpa syarat di dalam dewan itu selepas membahaskan isu jerebu.

-nR-


Pengarang :