The Poem (Wallpaper) terpanjang di Malaysia, karya Suzlee Ibrahim terus diiktiraf | Selangorkini


The Poem (Wallpaper) terpanjang di Malaysia, karya Suzlee Ibrahim terus diiktiraf

Oleh: HAFIZAN TAIB

MELUKIS bukan mudah seperti mana dilafaz dengan kata-kata. Ia memerlukan penumpuan jitu selain ilham bagi menzahirkan apa diidamkan ke layar kanvas buat tatapan umum.

Itu situasi sering ditempuh pelukis dalam menghasil lukisan bermutu yang dibanggakan khalayak dan menjadi koleksi berharga buat diri dan negara.


Bagi pelukis abstrak negara, Suzlee Ibrahim, satu cabaran bagi dirinya dalam menghasilkan sesuatu lukisan, namun semuanya diharungi penuh sabar demi mencapai pengakhiran dan pengiktirafan.

Beliau nyata boleh berbangga apabila usaha gigihnya diiktiraf Malaysian Book of World Record (MBR) melalui ‘The Poem (Wallpaper)’ sebagai karya ‘Longest Abstract Painting in an Art Gallery’ dengan ukuran lima kaki tinggi dan 60 kaki panjang.

pix 1Menghasilkan lukisan terpanjang di Malaysia adalah sesuatu mencabar minda, masa, tenaga dan kewangan apatah lagi medium digunakan ialah cat minyak yang lambat kering dengan pelbagai lapisan warna di atas kanvas.

Namun, semangat bagi merealisasikannya mengatasi segalanya hingga beliau berjaya menghasilkan lukisan terbabit walaupun menempuh pelbagai payah dan dugaan.

Kejayaan Suzlee dirai apabila dianugerahkan hadiah dan pengiktirafan daripada Pengurus Besar MBR, Helilia Juana, dalam satu majlis penyampaian di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.

Ia diadakan di universiti berkenaan apabila beliau mengadakan pameran solo, Meditastion, di Galeri Serdang yang terletak di Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina UPM, bermula 19 Ogos hingga 11 Oktober ini.

pix 3Ia pameran ke-29 Suzlee yang mempamerkan 35 karya terbaik daripada siri terbarunya yang dianjurkan hasil kerjasama Yayasan Seni Selangor (Galeri Shah Alam), Galeri Serdang dan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

Suzlee bukan nama baharu dalam arena seni visual negara atau di bidang akademik. Beliau berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang di dalam pembabitan selama 28 tahun selaku pelukis.

Selain pameran solo, beliau terbabit dalam lebih 1,000 pameran berkumpulan yang diadakan di dalam dan luar antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Jerman, Perancis, Belgium, Itali, Brazil, Cuba, Sepanyol, Kanada, China, Jepun, Argentina, Greece, Poland, UAE, Singapura, Australia, Nepal dan Bangladesh.

Suzlee bermula pensyarah sambilan di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA, Shah Alam pada 1993 (kini dikenali sebagai Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA). Kini, beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Rekaan Komunikasi Visual, ASWARA.

Suzlee adalah inspirasi kepada pelukis muda dan pelajar institusi seni serta contoh kejayaan ahli akademik juga pelukis negara.

pix 4Antara kejayaannya ialah In Recognition of Outstanding Creative Excellence – Emaar International Art Symposium Dubai/ UAE (2005) dan Japan-Malaysia Art Friendship Ambassador – Ministry of Culture Arts and Heritage Malaysia & World Arts and Culture Exchange Malaysia/Japan (2008).

Selain itu, Suzlee turut dianugerahkan sebagai Tokoh Seni: Anugerah Citra Kencana Universiti Kebangsaan Malaysia (2011), Excellent Masters Award Universiti Teknologi Mara, Shah Alam (2013) dan Anugerah Pengilmuan Seni ASWARA (2014).

Karya Suzlee juga terus mendpaat tempat dalam kalangan masyarakat apabila menjadi koleksi badan korporat dan pengumpul lukisan termasuk kalangan ternama dalam juga luar negara.

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION